X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Unsur timbal balas punca Pejuang tidak sokong MoU kerajaan, PH

Datuk Seri Mukhriz Mahathir
A
A

KUALA LUMPUR - Unsur timbal balas yang didakwa terdapat di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) menjadi punca Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan menyokong dan menandatangani MoU tersebut.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, unsur tersebut langsung tidak boleh diterima oleh pihaknya di mana satu pihak akan menyokong kerana diberi peruntukan oleh pihak lain.

“Saya ingin sebut contohnya peruntukan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang. Sebelum ini memang telah dicadangkan ketika zaman Tun Mahathir waktu PH.

“Tetapi waktu itu tiada unsur timbal balas. Kita tak bagi peruntukan dan kita tak minta orang yang terima sokong kita.

“Tapi dalam MoU kita nampak ada usaha-usaha seperti itu. Jadi itu sebabnya kami tak boleh terima timbal balas tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan berupa pek makanan kepada gelandangan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit dan sekitar Kampong Bharu di sini pada Jumaat.

Mukhriz (kanan) memberikan pek makanan kepada golongan gelandangan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit dan sekitar Kampong Bharu, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mukhriz (kanan) memberikan pek makanan kepada golongan gelandangan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit dan sekitar Kampong Bharu, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sebanyak 400 pek makanan diagihkan kepada gelandangan di sekitar kawasan tersebut.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata, pihaknya langsung tidak dimaklumkan berhubung MoU dan rundingan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak itu.

Jelas beliau, hanya pada saat-saat akhir barulah pihaknya diberi taklimat oleh PH dan diajak untuk bersama-sama menyokong dan menandatangani MoU tersebut.

“Jadi kami akan mengekalkan hak sebagai kuasa ketiga yang bebas untuk memberi pandangan sama ada menyokong atau menolak sebarang Rang Undang-Undang yang dikemukakan oleh kerajaan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!