'Amalan 'booking tempat' di masjid perlu penambahbaikan'

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan menempah tempat untuk menunaikan solat di surau atau masjid mungkin perlu ditambah baik.

Luahan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari setelah melalui pengalaman menunaikan solat Jumaat di salah sebuah surau yang dibenarkan untuk solat Jumaat di ibu kota.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya pada Jumaat, Ahmad Fadhli berkata, beliau tiba pada jam 12.35 tengah hari.

"Saya lihat di luar ruang solat utama, sudah agak ramai duduk menunggu masuk waktu. Saya masuk ke ruang utama. Alhamdulillah masih kosong.

"Berbunga-bunga hati rasanya selepas sekian lama tidak berkesempatan mendirikan solat Jumaat.

"Sebaik sahaja saya meletakkan sejadah, seorang jemaah dengan lembut meminta saya untuk beredar keluar. Katanya, semua tempat sudah ditempah.

"Oh, baru perasan sudah ada kertas bertulis nama di atas setiap sejadah. Patutlah lebih ramai jemaah di luar berbanding ruang utama di dalam. Semua (jemaah) sedang ambil wuduk. Saya ambil sejadah, solat di luar," katanya.

Bagaimanapun beliau berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan surau dan masjid yang bertungkus-lumus menjaga rumah ALLAH SWT serta memastikan keselesaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, amalan tempah tempat perlu sedikit penambahbaikan.

"Amalan 'booking tempat' ini barangkali perlu sedikit penambahbaikan.. kalau saya, terasa juga malu nama tercatat atas kertas di sejadah ni tapi lewat tiba sehingga khutbah diperdengarkan.

"Semoga ALLAH memberikan hidayah kepada kita semua," katanya lagi.