X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Bantuan GKP 4.0 dibayar mulai 21 September: Ismail Sabri

Ismail Sabri. - Foto fail Bernama
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyalurkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sebanyak RM500 juta kepada lebih satu juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut akan diberikan bermula 21 September bagi meringankan beban kewangan PKS mikro dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar.

Beliau berkata, bayaran GKP 4.0 akan dibayar dua kali iaitu pada September dan November, masing-masing sebanyak RM500.

“Inisiatif ini melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0. Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September melalui Portal GKP iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Jelas beliau, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih satu juta PKS mikro di bawah GKP sejak Covid-19 melanda negara ialah sebanyak RM6.08 bilion.

“Saya berharap bantuan ini dapat menggerakkan dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan memberi keutamaan kepada pemain industri tersebut kerana mereka merupakan antara sektor paling terjejas sepanjang pandemik Covid-19.

“Semoga dengan bantuan ini peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban dan membantu aliran tunai,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!