Penumpang tak dapat naik feri boleh tukar tarikh lain

Roslan Abd Ghani Seman
Roslan Abd Ghani Seman
A
A
A

KUALA PERLIS - Penumpang yang gagal menaiki feri ke Pulau Langkawi untuk melancong di bawah Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi di Terminal Feri Kuala Perlis boleh menukar tarikh baharu.

Pegawai Operasi Ferry Line Kuala Perlis, Roslan Abd Ghani Seman berkata, kemungkinan ada penumpang yang tidak dapat hadir dan dibenarkan menaiki feri disebabkan positif Covid-19 atau kontak rapat kepada pesakit pandemik tersebut selepas ujian pengesanan.

Sehubungan itu katanya, pelancong terlibat dibenarkan memilih tarikh perjalanan baharu yang dinyatakan sebagai tarikh terbuka (open dated) pada bila-bila masa mengikut kesesuaian mereka.

"Penumpang yang tidak dapat naik feri ini boleh memilih tarikh perjalanan yang diinginkannya untuk berlepas ke Pulau Langkawi namun ia tertakluk kepada situasi dan keadaan semasa.

"Disebabkan itu, tarikh perjalanan mereka terlibat dinyatakan sebagai tarikh terbuka yang boleh dilakukan secara dalam talian," katanya kepada pemberita pada hari kedua pergerakan penumpang berlepas ke Langkawi di bawah gelembung pelancongan di Terminal Feri Kuala Perlis di sini pada Jumaat.

Roslan berkata, penumpang yang membeli secara 'walk-in' yang berdepan situasi sama tidak dapat naik feri boleh membuat penangguhan atau penukaran tarikh di kaunter tiket.

Berdasarkan data Langkawi Ferry Line Venture, seramai 86 penumpang didapati tidak menaiki feri di terminal itu pada Jumaat menjadikan jumlah keseluruhan 175 penumpang gagal naik feri dalam tempoh dua hari gelembung perlancongan itu.

Difahamkan, penumpang boleh membuat penukaran tarikh berlepas ke Pulau Langkawi sehingga 31 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

Exco Pelancongan Perlis, Asmaiza Ahmad meninjau penumpang yang menaiki feri untuk berlepas ke Pulau Langkawi di Terminal Feri Kuala Perlis pada Jumaat.
Exco Pelancongan Perlis, Asmaiza Ahmad meninjau penumpang yang menaiki feri untuk berlepas ke Pulau Langkawi di Terminal Feri Kuala Perlis pada Jumaat.

Sementara itu, Exco Pelancongan Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, pelancong yang berkunjung ke Langkawi lebih 48 jam disaran membuat ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu sebelum kembali ke tanah besar bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, individu melancong selama tiga hari yang ingin berlepas dari Pulau Langkawi untuk kembali ke tanah besar pula, tidak perlu melakukan ujian saringan Covid-19.