Taman Rekreasi Pantai Robina ditutup lima hari

Keadaan Taman Rekreasi Pantai Robina di Teluk Air Tawar, Kepala Batas yang dipenuhi pengunjung pada Khamis.
Keadaan Taman Rekreasi Pantai Robina di Teluk Air Tawar, Kepala Batas yang dipenuhi pengunjung pada Khamis.
A
A
A

KEPALA BATAS - Taman Rekreasi Pantai Robina atau Robina Eco Park di Teluk Air Tawar, di sini ditutup lima hari bermula Sabtu selepas ramai pengunjung didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikuat kuasa ketika ini di Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tinjauan yang dilakukan oleh pasukan Task Force pada Khamis mendapati kawasan rekreasi itu menerima kehadiran di antara 700 hingga 1,000 pengunjung namun ada dalam kalangan mereka yang tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh anggota polis mendapati ada pengunjung yang hadir ke kawasan rekreasi itu masih belum lengkap divaksinasi.

"Berdasarkan pemantauan itu, satu perjumpaan bersama Datuk Bandar Seberang Perai, Pegawai Daerah SPU dan Pegawai Kesihatan Daerah bersetuju sebulat suara untuk menutup sementara pusat rekreasi berkenaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Tindakan ini dibuat bagi mengelakkan tanggapan negatif masyarakat setempat yang berkemungkinan akan menyebabkan tular melalui media sosial selain penutupan pusat rekreasi itu juga wajar memandangkan ia berada di kawasan zon merah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, Robina Eco Park ditutup bermula 18 September hingga 22 September depan atau ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan semula.

Rozali berkata, penutupan itu dibuat kerana ketidakpatuhan pengunjung ke atas SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa selain kesukaran untuk mengawal kehadiran pengunjung yang terlalu ramai pada waktu petang serta hari minggu dan cuti umum.

"Arahan ini bertujuan sebagai langkah pencegahan awal bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengunjung.

Artikel Berkaitan:

"MBSP juga menyeru orang awam yang mengunjungi taman rekreasi ini atau mana-mana taman rekreasi di seluruh Seberang Perai agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 berjaya dilaksanakan dan penyebaran wabak itu dapat dikawal," katanya.