Empat nelayan terselamat bot karam langgar kayu

Keadaan bot fiber yang karam akibat terlanggar objek dipercayai bongkah kayu di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut, Pulau Balar, Langkawi pada Khamis.
Keadaan bot fiber yang karam akibat terlanggar objek dipercayai bongkah kayu di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut, Pulau Balar, Langkawi pada Khamis.
A
A
A

LANGKAWI - Empat nelayan terselamat selepas bot dinaiki karam akibat terlanggar objek dipercayai bongkah kayu di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut, Pulau Balar, Langkawi pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, tekong Mohd Yusoff Nawi, 57, bersama tiga rakannya keluar ke laut pada jam 6 petang Khamis untuk mencandat sotong.

Mohd Zawawi berkata, ketika dalam perjalanan, bot mereka terlanggar satu objek dipercayai bongkah kayu yang hanyut menyebabkan bot mengalami kebocoran seterusnya karam kira-kira jam 7 malam.

"Tekong bertindak berenang ke daratan berhampiran bagi mendapatkan liputan komunikasi untuk mendapatkan bantuan dan tiga lagi rakannya berpaut di batu berhampiran bot mereka yang tenggelam.

"Mangsa bot karam berusia lingkungan 34 hingga 59 tahun itu kemudiannya diselamatkan sebuah bot lain yang turut berada di kawasan kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kesemua kru dibawa menaiki bot PERKASA 1225 dan turut diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi.

Empat nelayan terselamat selepas bot dinaiki karam di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut, Pulau Balar, Langkawi pada Khamis.
Empat nelayan terselamat selepas bot dinaiki karam di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut, Pulau Balar, Langkawi pada Khamis.

Beliau berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan bot fiber yang karam itu selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik menerima laporan dari MRSC Langkawi berkaitan kejadian, Kapal Maritim (KM) Tenggol dan bot ronda PERKASA 1225 diatur gerak bagi operasi CARILAMAT," katanya.

Mohd Zawawi memberitahu, maklumat kejadian turut disalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) serta komuniti nelayan setempat.

"Sebaik bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi kejadian, sebuah bot nelayan lain didapati membantu mangsa bot karam terbabit," katanya.

Tambahnya, operasi CARILAMAT ditamatkan pada jam 11.00 malam.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa memeriksa laporan kaji cuaca dan membekalkan peralatan keselamatan yang mencukupi sebelum turun ke laut.

Seluruh komuniti maritim dialu-alukan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750 atau MERS 999.