Penduduk serbu program jual ayam, ikan murah

Sebanyak 300 ekor ayam dan 500 kg ikan kembung dijual dalam Program Jualan Amal Harga Bantu Rakyat di Meru, Klang pada Khamis.
Sebanyak 300 ekor ayam dan 500 kg ikan kembung dijual dalam Program Jualan Amal Harga Bantu Rakyat di Meru, Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Penduduk kawasan sekitar di sini berpusu-pusu mendapatkan bekalan ayam dan ikan mentah pada harga murah menerusi Program Jualan Amal Harga Bantu Rakyat di Meru di sini pada Khamis.

Pengerusi Pertubuhan Muafakat Meru, Zaifun Nazim Ramli berkata, pada program itu, ayam mentah dijual dengan harga RM8 seekor, manakala ikan kembung berharga RM7 sekilogram yang diadakan sempena Hari Malaysia.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kapar berkata, sebanyak RM5,000 diperuntukkan untuk program tersebut merangkumi 300 ekor ayam dan 500 kilogram ikan kembung dan ia dibuka kepada penduduk di kawasan sekitar.

“Program dilaksanakan secara pandu lalu di tempat letak kenderaan bersebelahan Masjid Asy-Syarif di sini bagi mengurangkan kesesakan orang ramai yang datang sejak jam 7.30 pagi.

“Pembelian bagi setiap keluarga bagaimanapun dihadkan kepada seekor ayam dan sekilogram ikan kembung sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Zaifun Nazim berkata, program tersebut dianjurkan Pertubuhan Muafakat Meru selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama UMNO Bahagian Meru dan Pemuda UMNO Bahagian Kapar.

Ujarnya, seramai 15 orang petugas ditugaskan sepanjang program tersebut berlangsung bermula pada jam 8.30 pagi sehingga stok bahan mentah tersebut habis sekitar jam 10.15 pagi.

Beliau berkata, pihaknya mampu menawarkan harga yang rendah kepada pembeli kerana pihak penaja menanggung sebahagian kos jualan bahan mentah tersebut daripada pembekal.

Artikel Berkaitan:

“Kita berunding dengan pembekal ayam dan ikan tersebut untuk mengeluarkan kos mereka, contohnya RM7 sekilo untuk ayam. Jadi kita jual kepada orang ramai pada harga RM5. Baki RM2 ditanggung oleh penaja.

“Kita ada merancang untuk melaksanakan program tersebut di kawasan Kapar, cuma tidak pasti bila ia akan dijalankan,” katanya.