X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Ahli Parlimen, ADUN wajib keluar dana peribadi bantu rakyat: Anwar

Anwar berucap di Majlis Pelepasan Jentera Peduli Nadi Rakyat di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya pada Jumaat menerusi laman Facebooknya.
A
A

PETALING JAYA - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar semua wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Exco Kerajaan Negeri menyumbang dana peribadi untuk tujuan membantu rakyat.

Jelasnya, wakil rakyat tidak seharusnya bergantung kepada dana atau sumber kewangan daripada kerajaan semata-mata.

"Bukan saja daripada upaya mereka mengambil wang kerajaan atau dapat derma tapi harus beri contoh yang baik dengan keluarkan dana sendiri," katanya ketika berucap di Majlis Pelepasan Jentera Peduli Nadi Rakyat di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya pada Jumaat menerusi laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang itu turut menjelaskan, parti politik haruslah dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat terutama ketika berdepan pandemik Covid-19 ini.

"Pada hemat saya, parti politik ruangnya bukan sahaja kemukakan usul, pandangan, dasar, beri teguran tapi memberi khidmat yang baik selain daripada usaha daripada kerajaan Persekutuan dan Negeri.

"Saya bangga dan bersyukur kerana ada Ahli Parlimen, ADUN, dan pimpinan parti di semua peringkat terus menerus dengan program mengurangkan beban rakyat ketika berdepan pandemik ini," katanya.

Beliau turut berharap agar kerajaan dapat menyalurkan suntikan dana khas kira-kira RM45 bilion khusus untuk mengurangkan beban rakyat.

Jelas beliau, pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) juga meminta Kerajaan Persekutuan mengecualikan kadar faedah moratorium, selain dana itu untuk menyediakan makan minum, kesihatan dan pendidikan.

Jentera Peduli Nadi Rakyat akan menjelajah seluruh negara bermula di Pulau Pinang dan Kedah untuk menyampaikan bantuan makanan dan bahan mentah seperti ayam segar kepada rakyat yang memerlukan. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!