X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Maritim rampas 14 set bubu naga

Anggota Maritim Malaysia mengangkat bubu naga yang ditemui di dua lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat laut Sungai Air Hitam, perairan Pulau Pinang, petang Khamis. Gambar kanan: Antara bubu naga yang dirampas.
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 14 set bubu naga di dua lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat laut Sungai Air Hitam, di sini, petang Khamis.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan dibuat semasa rondaan rutin OP Benteng Laut dan OP Pertiwi di perairan Pulau Pinang antara jam 4 hingga 5.20 petang.

Menurutnya, pemeriksaan di kedua-dua lokasi telah menemui 14 set bubu naga dengan anggaran nilai RM1,860.

"Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain, terutamanya nelayan tradisional pesisir pantai.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abd Razak berkata, kesemua bubu naga berkenaan telah dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!