Kebun Komuniti bantu jana pendapatan penduduk semasa PKP

Adhif Syan (tiga dari kiri) memegang tembikai yang dihasilkan penduduk di Kebun Komuniti Bandar Seri Ehsan di Banting pada Jumaat.
Adhif Syan (tiga dari kiri) memegang tembikai yang dihasilkan penduduk di Kebun Komuniti Bandar Seri Ehsan di Banting pada Jumaat.
A
A
A

BANTING - Projek Kebun Komuniti mampu menjana ekonomi penduduk setempat sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Nasional (PPN) di kawasan taman perumahan di bandar atau pinggir bandar.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Adhif Syan Abdullah berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini pada Mac tahun lalu, ramai hilang pekerjaan disebabkan syarikat menghentikan operasinya.

Beliau bagaimanapun berkata, ramai mula menceburi bidang pertanian untuk menjana pendapatan baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Sejak PKP sehingga PPN dilaksanakan, semua perkara perlu diatur semula termasuk sumber pendapatan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Mereka yang hilang kerja boleh menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan baharu.

"Saya berharap projek perintis Kebun Komuniti di sini di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil akan dikembangkan ke lain-lain Kawasan Rukun Tetangga," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Lawatan Kebun Komuniti di Bandar Seri Ehsan di sini pada Jumaat.

Turut hadir pada program tersebut ialah Pegawai Pertanian Daerah Kuala Langat, Mustadza Shukor.

Dalam perkembangan lain, Adhif Syan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil berkata, program perintis tersebut adalah yang terbesar di daerah berkenaan setakat ini.

Ujarnya, projek tersebut dijalankan atas tanah milik pemaju perumahan seluas 0.06 hektar dan melibatkan beberapa penduduk setempat di sini.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, saya akan menjadi orang tengah penduduk di kawasan perumahan Bandar Seri Ehsan untuk mendapatkan kebenaran meluaskan Kebun Komuniti ini," katanya.