X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Jawatankuasa ditubuhkan cari punca kekerapan banjir di Sabah

Bung Moktar (duduk di kiri) dan Arthur (duduk di kanan) ketika sidang akhbar selepas majlis menandatangani notis kerjasama antara JKR Sabah dengan JKR Persekutuan di Sembulan, Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A

KOTA KINABALU - Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji kejadian bencana alam sehingga menyebabkan berlakunya kekerapan banjir di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusi oleh beliau sendiri bagi mengenal pasti puncanya.

"Kabinet telah melantik saya untuk mempengerusikan satu jawatankuasa bagi meninjau masalah bencana alam di Sabah kerana terlalu kerap berlaku.

"Apabila hujan empat hingga lima jam, banjir mendadak naik.

Kita pun tidak tahu dari mana puncanya, jadi kita akan buat kajian," katanya selepas hadir pada majlis menandatangani notis kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dengan JKR Persekutuan bagi pelaksanaan Program Integrasi Data Sistem Kawal dan Lapor (Skala) serta Sistem Pentadbiran, Pemanfaatan dan Pengurusan Projek (PALMS) di Pejabat JKR di Sembulan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Sinar Harian berhubung masalah banjir yang kerap berlaku terutama membabitkan kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah tidak menafikan pembinaan jajaran Pan Borneo yang sedang dilaksanakan ketika ini mungkin faktor berlakunya banjir.

"Ini antara salah satu penyumbang, saya tidak dapat menafikan kemungkinan," katanya.

Berhubung perkembangan pembinaan jajaran Pan Borneo di Sabah, Bung Moktar memaklumkan, banyak kekangan yang terpaksa dihadapi dalam usaha menyiapkannya.

"Sekarang sudah lebih 60 peratus untuk 11 pakej ini.

Empat pakej lagi baru saja dianugerahkan pada bulan ini. Keseluruhannya, kita ada lebih kurang 37 pakej.

"Kalau bukan kerana Covid-19 dan hujan lebat, saya rasa dalam tahun 2023 ini selesai.

Tetapi banyak kekangan kita hadapi, jadi kita kena bertenang dan kerja diteruskan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, notis kerjasama sistem integrasi antara JKR Sabah dan Persekutuan adalah titik permulaan menunjukkan kerajaan Persekutuan dan Sabah akan lebih bekerjasama untuk meningkatkan lagi pembangunan di negeri ini.

"Khususnya di Sabah untuk mengurangkan jurang perbezaan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!