Datuk Ken, isteri didakwa jadikan rumah pusat judi

Liow Lian Keong (kanan) dan isterinya, Chen Lye Kuen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang pada Jumaat bagi empat pertuduhan menggunakan kediaman mereka sebagai rumah judi terbuka. Foto: Bernama
Liow Lian Keong (kanan) dan isterinya, Chen Lye Kuen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang pada Jumaat bagi empat pertuduhan menggunakan kediaman mereka sebagai rumah judi terbuka. Foto: Bernama
A
A
A

SELAYANG - Seorang ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai ‘Datuk Ken’ dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas empat pertuduhan menggunakan empat rumah mereka di Rawang sebagai tempat perjudian, Julai lalu.

Liow Lian Keong, 40, dan Chen Lye Kuen, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mengikut pertuduhan, Lian Keong yang didakwa atas tiga pertuduhan menggunakan tiga kediaman miliknya di Bandar Country Homes, Rawang sebagai rumah perjudian terbuka pada jam 5.15 hingga 6.15 petang, 6 Julai lalu.

Sementara Lye Kuen didakwa atas satu pertuduhan sama, pada jam 5.30 petang pada tarikh dan lokasi sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Ia membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun serta boleh dikenakan denda dengan jumlah sama bagi setiap mesin judi dirampas, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin, Thomas Chin S W dan Matthews.

Semasa prosiding, Wan Nur Iman mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Muhammad Nor Izzat memohon kepada mahkamah agar kedua-dua anak guamnya dikenakan jaminan pada kadar minima dengan alasan mereka menanggung dua anak dan ibu bapa masing-masing.

“Mereka juga sudah memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dan semua akaun peribadi serta syarikat tertuduh telah dibekukan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Lian Keong diikat jamin RM21,000 manakala Lye Kuen sebanyak RM7,000 masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 20 Disember depan untuk serahan dokumen.