Polis Johor gempur makmal dadah sindiket antarabangsa

Ayob Khan (kanan) menunjukkan bahan memproses dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Iskandar Puteri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Jumaat.
Ayob Khan (kanan) menunjukkan bahan memproses dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Iskandar Puteri pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor merampas dadah bernilai RM1.03 juta hasil pembongkaran sebuah makmal memproses bahan terlarang itu di Iskandar Puteri, di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan bermula jam 1.45 petang itu turut membawa kepada penahanan 10 suspek warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun.

Katanya, modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak dua bulan itu adalah dengan bersembunyi di dalam premis perumahan ‘berpagar dan berkawal’ (gated and guarded) untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Operasi melibatkan tujuh serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri. Serbuan pertama melibatkan sebuah rumah dalam kawasan berpagar dan berkawal yang mana kami percaya dijadikan makmal memproses.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun selain menemui sejumlah dadah dan peralatan memproses.

“Penahanan itu membawa kepada tangkapan sembilan lagi suspek lain termasuk dua wanita berusia 20 hingga 34 tahun di beberapa kawasan sekitar. Bagaimanapun, hasil ujian air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek negatif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini pada Jumaat.

Ayob Khan berkata, enam daripada suspek yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Beliau berkata, sindiket ini juga dipercayai bersedia untuk membuat pengedaran di negara jiran berdasarkan keadaan dadah yang sudah siap untuk diseludup.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah merampas sebanyak 25.2 kilogram heroin dalam bentuk kiub bernilai RM336,000 dan 14 kilogram serbuk ecstasy bernilai RM700,000.

“Daripada jumlah bekalan ini, boleh dikatakan ia adalah untuk aktiviti pengedaran bagi digunakan seramai 176,666 penagih selain kita juga percaya dadah-dadah ini akan diseludup keluar ke negara-negara jiran,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, jumlah sitaan harta benda termasuk empat kereta bernilai RM194,000 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM1.2 juta.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 30 tahun kini direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sembilan suspek lain akan diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.