Dua kru bot pukat tunda ditahan langgar syarat lesen

Bot pukat tunda yang dikendalikan dua kru ditahan selepas didapati melanggar syarat sah lesen. Foto: Ihsan Maritim Perak.
Bot pukat tunda yang dikendalikan dua kru ditahan selepas didapati melanggar syarat sah lesen. Foto: Ihsan Maritim Perak.
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot pukat tunda kelas B yang disyaki melanggar syarat sah lesen di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, bot yang dikendalikan dua kru warga tempatan berusia 58 dan 69 tahun itu ditahan di kedudukan lebih kurang 4.5 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam di sini.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan dilakukan pasukan Maritim Malaysia ketika melaksanakan Ops Benteng dan Ops Pintas di sempadan perairan negeri itu.

"Ketika ditahan, kru terbabit melakukan aktiviti perikanan berhampiran dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan di kawasan kurang daripada lima batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen.

Maritim Malaysia Perak merampas bubu naga yang dipasang di perairan Pulau Pasir Hitam, dekat Lumut pada Khamis. Foto: Ihsan Maritim Perak
Maritim Malaysia Perak merampas bubu naga yang dipasang di perairan Pulau Pasir Hitam, dekat Lumut pada Khamis. Foto: Ihsan Maritim Perak

"Bot bersama kru serta hasil tangkapan dianggarkan seberat 50 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu bagi tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Shahrizan berkata, pihaknya turut merampas 50 set bubu naga bernilai RM6,000 di sekitar perairan tersebut.

"Kesemua bubu dengan anggaran harga RM120 setiap unit dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan," katanya.

Beliau meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.