Tak menang tangan siapkan 500kg arnab perap Ketereh

Permintaan tinggi sate, burger dan bebola daging arnab membuatkan pasangan suami isteri dari Kampung Chengal, Ketereh dekat sini, tidak menang tangan menyiapkan lebih 500 kg daging tempahan pelanggan setiap bulan. - Foto Bernama
Permintaan tinggi sate, burger dan bebola daging arnab membuatkan pasangan suami isteri dari Kampung Chengal, Ketereh dekat sini, tidak menang tangan menyiapkan lebih 500 kg daging tempahan pelanggan setiap bulan. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Permintaan tinggi sate, burger dan bebola daging arnab membuatkan pasangan suami isteri dari Kampung Chengal, Ketereh dekat sini, tidak menang tangan menyiapkan lebih 500 kilogram (kg) daging tempahan pelanggan setiap bulan.

Mohd Saupi Hassan, 55, memberitahu sekitar dua tahun lepas, bermula dengan hanya menternak sembilan ekor arnab namun bilangannya semakin bertambah sehingga mencecah 500 ketika ini berikutan permintaan tinggi daripada pembuat sate dari Johor dan Kuala Lumpur.

"Saya membekalkan daging arnab siap disembelih, dilapah dan diperap.

Apabila permintaan terhadap sate, burger, dan bebola daging arnab tempahan diterima meningkat secara purata saya perlu membekalkan lebih 500 kg daging atau sekitar 500 ekor sebulan.

"Daging arnab yang siap disembelih, dilapah dan diperap dijual pada harga RM38 sekilogram dan permintaan datang daripada pembuat sate dari Johor dan Kuala Lumpur," katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Bercerita mengenai kaedah penternakan, Mohd Saupi berkata berikutan permintaan daging arnab yang meningkat beliau bersama isteri, Noriha Ahmad, 49, sentiasa menjaga pemakanan haiwan tersebut bagi memastikan kualiti dagingnya.

Menurut beliau, kandang arnab itu dibina di belakang rumah bertujuan memudahkan proses penjagaan makan dan minum mamalia tersebut yang perlu dilakukan secara berjadual.

"Makanan adalah perkara paling penting dalam usaha 'menggemukkan' arnab bagi penghasilan banyak daging berkualiti sehingga ada arnab ini mencecah berat antara dua hingga lima kilogram.

Artikel Berkaitan:

"Arnab jenis Chinchilla dan New Zealand White yang dipelihara ini adalah baka dikacukan dan dijual bergantung kepada kategori dan umur dengan harga induk bermula dari RM30 seekor (usia sebulan) hingga RM150 seekor," katanya.

Mohd Saupi mengaku semakin bersemangat menternak arnab kerana haiwan tersebut agak mudah membiak dan cepat mencapai usia matang iaitu sekitar empat bulan sebelum fasa mengawan.

Menurutnya dalam tempoh sebulan dengan hanya seekor arnab induk, ia mampu melahirkan antara tujuh hingga lapan ekor anak untuk setiap kali kelahiran.

Mengulas lanjut, Mohd Saupi berkata, disebabkan kebanyakan penternak arnab mempunyai stigma terpaksa mengeluarkan banyak belanja bagi makanan, justeru beliau mengambil inisiatf menghasilkan sendiri makanan untuk arnab peliharaannya seperti rumput dan pokok herba yang 'dicerut' untuk menjimatkan kos.

"Saya tidak memberikan 100 peratus makanan palet tetapi lebih banyak pokok organik seperti daun pisang, ulam raja, sireh cina dan belalai gajah yang ada di sekitar rumah.

"Palet biasanya diberikan sekali sehari iaitu pada pukul 12 malam, manakala pada waktu pagi rumput dan pokok organik diberikan.

“Untuk minuman pula, saya sediakannya dalam bekas khas yang boleh disedut arnab secara automatik," katanya. - Bernama