X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Bursa Malaysia dibuka tinggi, saham harga rendah

Bursa Malaysia
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia memulakan dagangan lebih tinggi pada Jumaat apabila indeks petunjuk utama meningkat sebanyak 0.08 peratus, dipacu aktiviti pembelian saham yang berharga rendah.

Pada jam 9.01 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.21 mata kepada 1,556.47 daripada 1,555.26 pada akhir dagangan Rabu.

Pasaran itu dibuka dengan menokok 1.09 mata kepada 1,556.35.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup semalam bersempena cuti umum Hari Malaysia.

Sentimen pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 196 berbanding 98 manakala 272 kaunter lain tidak berubah, 1,702 tidak diniagakan dan enam digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 123.69 juta unit bernilai RM49.12 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata aktiviti pembelian saham berharga rendah dijangka terus ketara susulan kembalinya penyertaan pelabur asing dalam pasaran saham tempatan berikutan kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP) di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kelonggaran seterusnya akan turut mendorong minat pelabur dalam saham-saham berkaitan pemulihan seperti bahan mentah binaan serta pengguna,” katanya dalam nota penyelidikannya, pada Jumaat.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing naik satu sen kepada RM8.30 dan RM4.02 manakala Petrons Chemicals meraih tiga sen kepada RM8.04, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.58 dan Press Metal Aluminium susut dua sen kepada RM5.72.

Bagi saham aktif, Malayan United Industries, Impiana Hotels dan Ageson masing-masing tidak berubah pada 8.5 sen, 8.5 sen dan 7.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Fraser and Neave Holdings naik 34 sen kepada RM27.38, Genetec Technology meraih 20 sen kepada RM35.38 manakala Subur Tiasa Holdings menokok 15 sen kepada 85 sen.

Bagi kaunter paling rugi, Sam Engineering susut 18 sen kepada RM14.30, Petronas Gas turun lapan sen kepada RM16.80 dan Telekom Malaysia menguncup enam sen kepada RM5.91.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 11.10 mata kepada 11,406.95, Indeks FBMT 100 menokok 10.19 mata kepada 11,096.47 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 3.79 mata kepada 12,481.58.

FBM 70 mengukuh 19.843 mata kepada 14,978.21 manakala FBM ACE meningkat 29.50 mata kepada 7,225.25.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 13.76 mata kepada 6,505.69, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.30 mata kepada 200.00 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 26.99 mata kepada 15,291.50. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!