'Bunyi sangat kuat, sedar-sedar terbaring atas jalan'

Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Palas, Cameron Highlands pada petang Khamis. (Gambar kecil: Kalaiarasi)
Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Palas, Cameron Highlands pada petang Khamis. (Gambar kecil: Kalaiarasi)
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - "Saya tak tahu apa yang berlaku kerana ketika kejadian sedang tidur, sedar-sedar sudah terbaring atas jalan bersama timbunan barang yang banyak," kata R Kalaiarasi, 28.

Guru tadika itu antara dua yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang menyebabkan sebuah rumah berhampiran kawasan kebun sayur, ranap di Jalan Sungai Palas di sini pada Khamis.

Kejadian sekitar jam 3.30 petang itu telah mengorbankan ibu Kalaiarasi, K Vijaya, 59, akibat tertimbus dalam runtuhan berkenaan sementara kakaknya R Kaviitha, 29, mengalami koyak di kepala dan luka di kaki.

Kalaiarasi berkata, sebelum kejadian dia ada terdengar bunyi sangat kuat seakan guruh, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana keadaan hujan sangat lebat.

"Baru sekejap saya terlelap dan sekelip mata semuanya berlaku. Kemungkinan kami semua tercampak ke jalan kerana ketika kejadian saya tidur di dalam bilik manakala kakak dan emak sedang berehat di bahagian ruang tamu," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini pada Khamis.

Dia berjaya menarik keluar tubuh kakaknya yang berada di bawah timbunan runtuhan di atas jalan itu kira-kira 15 meter dari lokasi rumah, namun tidak menemui kelibat ibunya.

"Sambil menangis saya panggil emak beberapa kali, tetapi tiada sahutan, oleh kerana hujan sangat lebat dan ditambah masih berlaku runtuhan tanah bersama lumpur, saya bawa kakak ke tempat lebih selamat sambil cuba mendapatkan bantuan," katanya.

Menurutnya, mujurlah ketika itu sebuah kereta dinaiki pelancong tempatan melalui kawasan itu dan membantu meminjamkannya telefon untuk menghubungi ahli keluarga lain dan mendapatkan bantuan pasukan penyelamat.

Artikel Berkaitan:

"Depan mata sendiri saya lihat rumah yang mak dan ayah diami sejak lebih 30 tahun lalu musnah, segala kenangan kami hilang tiada apa yang tinggal.

"Saya selalu baca berita-berita kejadian runtuhan tanah, tetapi sama sekali tak menyangka akan alaminya sendiri, lebih menyedihkan mengorbankan orang yang paling kami sayang," katanya yang hanya mengalami luka ringan di kaki kiri.

Kalaiarasi berkata, dua jam sebelum kejadian, mereka sempat makan tengah hari bersama bapa sebelum lelaki berusia 63 tahun itu keluar menyambung kerja sebagai pemandu teksi.

"Ayah masih lagi bersedih, nampak dia menangis ketika mayat mak dibawa keluar tadi (petang Khamis).

"Buat masa ini kami belum dibenarkan mendekati kawasan rumah kerana bimbang berlaku lagi runtuhan, jadi untuk sementara kami menumpang dulu di rumah ibu mentua kakak di Brinchang sampai semua urusan selesai," katanya.

Mayat Vijaya yang terperangkap dalam runtuhan sedalam satu meter berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands pada jam 5.41 petang.

Hujan lebat selama dua jam dipercayai menyebabkan berlakunya pergerakan tanah di bahagian atas yang mengakibatkan runtuhan bersama lumpur dan pokok tumbang sebelum mengenai rumah keluarga terbabit.