X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Tiga anak pasangan buta ke menara gading

Azmi (kiri) dan Noraini yang sentiasa bersama-sama ke mana-mana saja.
A
A

BACHOK - Jerit perih yang dilalui pasangan suami isteri buta membesarkan tiga anak mereka dengan hasil jualan minyak angin dan tisu terbalas dengan kesemuanya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Pasangan itu, Azmi Abd Manaf, 50, dan Noraini Majid, 51, dikurniakan tiga anak, Mohd Afiq Nazhan Azmi, 26, Nur Azra Nadhirah, 21, dan Nur Atihirah Nadhilah, 19.

Anak sulung, Mohd Afiq Nazhan adalah gaduan Ijazah Perniagaan di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Puncak Alam, Selangor.

Nur Azra Nadhirah kini menuntut jurusan Diploma Perniagaan di UiTM Machang manakala Nur Atihirah Nadhilah pula mengikuti pengajian Diploma Kejururawatan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Azmi berkata, kedua-dua belah matanya sakit dan rabun sejak kecil sebelum lama-kelamaan menjadi buta sepenuhnya menyebabkan dia terpaksa menggunakan tongkat.

Azmi (kanan) dan Noraini berpimpin tangan serta saling membantu ketika keluar rumah di Jelawat, Bachok.
Azmi (kanan) dan Noraini berpimpin tangan serta saling membantu ketika keluar rumah di Jelawat, Bachok.

“Saya berhijrah ke Kuala Lumpur pada 25 tahun lalu dan melakukan pelbagai kerja sebelum bertemu jodoh serta dikurniakan tiga anak.

“Saya berniaga minyak angin dan tisu di pasar-pasar malam di Jalan Tengku Abdul Rahman, Setiawangsa dan Chow Kit untuk menyara kehidupan kami sehinggalah tiga anak berjaya ke universiti,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Ujarnya, hasil jualan tidak menentu sekitar RM30 sehari manakala isterinya yang buta sebelah mata kanan pula hanya suri rumah sepenuh masa.

“Sebagai orang kurang upaya (OKU) kami memang memerlukan pertolongan orang lain tetapi saya tidak boleh malas atau hanya menunggu sahaja kerana rezeki tidak turun dari langit.

“Saya perlu berusaha agar mendapat keberkatan daripada Allah selainnya berserah dan bertawakal kepada-Nya,” katanya.

Azmi berkata, dia dan isteri setiap seorang menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Nur Azra Nadhirah berkata, mereka tiga beradik berasa amat bangga mempunyai ibu bapa yang dapat membesarkan mereka sehingga berjaya ke menara gading walaupun dalam keadaan kekurangan fizikal buta mata.

Anak kedua, Nur Azra Nadhirah Azmi, 21, (kanan) sentiasa menemani dan membantu kedua ibu bapanya yang buta.
Anak kedua, Nur Azra Nadhirah Azmi, 21, (kanan) sentiasa menemani dan membantu kedua ibu bapanya yang buta.

“Kami tidak pernah malu untuk mengaku mereka adalah ibu bapa kami malah berbesar hati dan kini sudah dewasa serta tiba giliran untuk membalas jasa dengan menjaga mereka pula.

“Sejak Covid-19, kami sudah berpindah ke Kelantan dan ibu bapa tidak lagi dapat berniaga tetapi diganti dengan abang sulung yang bekerja sebagai penghantar makanan untuk menyara kami sekeluarga,” katanya.

Jelas Nur Azra Nadhirah, abangnya bekerja sebagai penghantar makanan sementara mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusannya.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun Azmi Abd Manaf Bank Islam 14041020525548 atau hubungi 0139701431.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!