Medan Speedy Tigers asah taring

Faizal menyifatkan Siri Jelajah United Kingdom merupakan pentas kompetitif untuk pemain negara kembali ke prestasi sebenar masing-masing. FOTO: Hokita
Faizal menyifatkan Siri Jelajah United Kingdom merupakan pentas kompetitif untuk pemain negara kembali ke prestasi sebenar masing-masing. FOTO: Hokita
A
A
A

TONGGAK The Speedy Tigers, Faizal Saari menghela nafas lega apabila pemain-pemain skuad negara dapat kembali beraksi di Siri Jelajah United Kingdom selepas dua tahun tanpa perlawanan kompetitif.

Malah menurut Faizal, siri jelajah itu juga merupakan peluang terbaik tidak hanya untuk mengasah semula kemahiran pemain-pemain tetapi juga menilai prestasi diri selain melihat di tahap mana seseorang pemain tersebut pada setakat ini.

“Alhamdulillah, terima kasih kerana masih lagi mendapat kepercayaan coach Arul Selvaraj yang mana saya sifatkan ini merupakan peluang terbaik untuk kembali ke prestasi sebenar.

“Sebenarnya tanpa perlawanan kompetitif sejak dua tahun lalu, ini merupakan cabaran tidak hanya untuk saya tetapi juga semua pemain negara lain untuk kembali memberikan aksi terbaik masing-masing.

“Sejujurnya saya amat teruja dan tidak sabar untuk menyahut cabaran beraksi dalam perlawanan persahabatan ini kerana dari situ seseorang pemain itu dalam menilai kelebihan yang boleh ditingkatkan dan kelemahan yang boleh diperbaiki,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada Rabu mengesahkan skuad 23 pemain kendalian Arul Selvaraj akan menyertai Siri Jelajah United Kingdom bermula 19 September sehingga 22 Oktober depan sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan Piala Asia 2022.

Sebanyak 10 perlawanan diatur sepanjang siri jelajah The Speedy Tigers termasuk empat aksi menentang kelab manakala tujuh perlawanan menentang skuad kebangsaan Ireland, Wales dan Perancis.

Pada masa sama Faizal berharap rakan-rakan sepasukan akan memanfaatkan sepenuhnya siri jelajah tersebut dalam memperbaiki kemahiran dan mematangkan permainan selain memantapkan kerjasama berpasukan.

Artikel Berkaitan:

“Siri Jelajah United Kingdom ini juga merupakan peluang kepada pemain-pemain negara untuk mempelajari perkara baharu dari kelab dan pasukan negara luar.

“Saya percaya banyak perkara atau ilmu hoki baharu yang akan dapat dipelajari dalam kalangan pemain The Speedy Tigers sepanjang siri jelajah ini nanti,” katanya.

Untuk rekod, The Speedy Tigers dijadualkan menentang pasukan berstatus kelab terlebih Old Georgians pada 26 September ini diikuti Surbiton HC (28 September), Hampstead & Westminster HC (29 September) dan Beeston HC (1 Oktober).

Kemudian anak buah Arul Selvaraj dijangka menentang skuad kebangsaan Ireland pada 5 dan 6 Oktober diikuti Wales (9 & 12 Oktober) dan Perancis (15 & 18 Oktober).

INFO

SENARAI 23 PEMAIN SIRI JELAJAH UNITED KINGDOM 2021

PENJAGA GOL

1. Muhammad Hafizuddin Othman

2. Adrian Andy Albert

3. Mohammad Hairi Abdul Rahman

PERTAHANAN

4. Muhammad Razie Abdul Rahim

5. Muhammad Marhan Mohd Jalil

6. Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan

7. Muhammad Aminuddin Mohd Zain

8. Muhammad Azri Hassan

9. Muhammad Najmi Farizal Jazlan

10. Muhammad Shafiq Hassan

TENGAH

11. Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi

12. Faiz Helmi Jali

13. Muhamad Ramadan Rosli

14. Mohamad Ashran Hamsani

15. Meor Muhammad Azuan Hassan

16. Zulpidaus Mizun

17. Muhammad Najib Abu Hassan

18. Faizal Saari

PENYERANG

19. Norsyafiq Sumantri

20. Muhammad Firhan Ashaari

21. Muhammad Shahril Saabah

22. Shello Silverius

23. Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal