Pusat kecemerlangan sukan setaraf Bukit Jalil di Sarawak

Bonnie meraih pingat emas pertama negara bagi kategori 72kg pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Tokyo International Forum, 28 Ogos lalu.
Bonnie meraih pingat emas pertama negara bagi kategori 72kg pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Tokyo International Forum, 28 Ogos lalu.
A
A
A

SARAWAK merancang membangunkan sebuah pusat kecemerlangan sukan (centre of high performance) berhampiran dengan Kompleks Sukan Negeri di Petra Jaya di sini.

Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan itu untuk menyediakan kemudahan latihan setaraf Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, merupakan perancangan jangka masa panjang untuk membolehkan atlet negeri ini bersaing di peringkat tinggi.

“Dengan adanya pusat itu, kita dapat mengasuh para atlet dengan lebih teliti, dan buat masa ini ia telah pun dimulakan, menggunakan fasiliti yang sedia ada walaupun bangunan pusat kecemerlangan ini belum ada,” katanya selepas menyambut kepulangan lima atlet dan seorang jurulatih Paralimpik Tokyo dari Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Berhubung kejayaan atlet dari Sarawak yang berjaya meraih pingat dalam temasya sukan itu, Abdul Karim berkata kerajaan Sarawak akan mengumumkan insentif yang bersesuaian sebagai ganjaran kepada pencapaian mereka yang mengharumkan nama negeri ini.

“Biasanya insentif yang diberikan kerajaan negeri adalah separuh dari nilai insentif yang diberikan oleh kerajaan pusat,” katanya.

Jurulatih Jamil Adam mengetuai ketibaan atlet paralimpik dari Sarawak iaitu Jong Yee Khie (powerlifting), Wiro Julin (memanah), Jamery Siga (renang), Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (renang).

Untuk rekod, pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu, Bonnie Bunyau meraih pingat emas kategori 72 kilogram (kg) manakala Yee Khie memenangi perak bagi kategori 70kg. - BERNAMA

Artikel Berkaitan: