X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

MyTravelPass: Imigresen diminta kaji semula kategori permohonan

Hishammuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen diminta mengkaji semula kategori permohonan keluar negara yang boleh diberi kebenaran terus tanpa perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik pada Rabu setelah mengambil kira maklum balas dan pandangan orang ramai mengenai program MyTravelPass.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen akan membentangkan cadangan berhubung perkara itu kepada Jawatankuasa Teknikal Covid-19 MKN.

Terdapat lima kategori tidak perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass untuk ke luar negara iaitu diplomat dan pegawai Kedutaan Malaysia yang kembali bertugas di luar negara termasuk tanggungan masing-masing, pelajar dan tanggungan yang meneruskan pengajian dengan syarat memiliki visa pelajar atau visa tanggungan yang sah serta pemegang pas jangka panjang di luar negara (Pemastautin Tetap/Pas Residen/Pas Kerja dan lain-lain).

Dua lagi kategori ialah bekerja dengan syarikat petroleum dan syarikat perkapalan yang perlu ‘sign-on’ ke atas kapal di luar negara serta mengiringi pelajar ke luar negara bagi tujuan belajar terhad kepada dua pengiring sahaja dengan pengiring perlu melakukan perjalanan keluar bersama-sama pelajar pada masa yang sama.

Kategori yang perlu mendapat kelulusan MyTravelPass pula ialah warganegara yang baru mendapat tawaran bekerja atau belajar di luar negara, pelajar yang ingin menduduki peperiksaan di luar negara, menghadiri mesyuarat/seminar/urusan perniagaan di luar negara dan menyertai pameran/pertandingan sukan/latihan di luar negara dengan mengemukakan surat sokongan daripada agensi kawal selia.

Tiga lagi kategori ialah urusan kecemasan ahli keluarga terdekat (kematian/ahli keluarga ditimpa kemalangan/sakit), pemegang visa pasangan/tunangan (perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah) dan menyertai misi bantuan kemanusiaan/keagamaan.

Mengulas tindakan beberapa syarikat penerbangan yang mengenakan syarat agar penumpang menunjukkan MyTravelPass walaupun mereka dalam kategori tidak perlu membuat permohonan, Hishammuddin berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Saya telah minta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan kepada syarikat-syarikat berkenaan agar mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam tempoh 7 Oktober tahun lalu hingga 10 Sept tahun ini, Jabatan Imigresen menerima 356,510 permohonan dan daripada jumlah itu, sebanyak 208,509 diluluskan, 127,465 ditolak manakala 6,697 dibatalkan sendiri oleh pemohon dan 13,000 sedang diproses.

Katanya, terdapat empat faktor yang boleh menyebabkan permohonan ditolak iaitu nama berada dalam senarai syak oleh Jabatan Imigresen Malaysia, dokumen tidak lengkap, dokumen yang dimuat naik tidak boleh dibaca dan dokumen dipalsukan.

Hishammuddin berkata, permohonan melalui MyTravelPass perlu dibuat 14 hari sebelum hari jangkaan berlepas secara dalam talian melalui portal https://mtp.imi.gov.my. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!