X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Lelaki mengamuk guna sabit positif dadah

Tular klip video di media sosial menunjukkan seorang lelaki yag membawa sabit mengamuk dan mengganggu lalu lintas di Jalan Bukit Gambir, dengan membawa senjata dipercayai sabit.
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki yang membuat kacau sambil memegang dua bilah sabit di Jalan Ketitir, Sungai Dua di sini ditahan pihak berkuasa selepas 12 jam usaha untuk menahannya.

Dalam kejadian jam 11 malam pada Rabu itu, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung tindakan seorang lelaki yang sedang membuat kacau dengan menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, selepas menerima maklumat itu, polis yang dibantu beberapa anggota bomba dari Balai Bomba Jalan Perak telah ke lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudiannya.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, lelaki tersebut masih berada di situ dengan memegang dua bilah sabit.

"Ketika usaha untuk menangkapnya, suspek melarikan diri ke dalam hutan simpan rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM) di Jalan Bukit Gambir.

"Usaha pencarian diteruskan namun terpaksa dihentikan pada jam 2 pagi Khamis kerana keadaan gelap dan berisiko kepada pasukan keselamatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, operasi memburu suspek bersambung jam 10 pagi pada Khamis dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik polis di lokasi sama.

"Setelah 10 minit pencarian, suspek berjaya dikesan di kawasan kabin tanaman milik USM. Polis telah memberi amaran untuk menyerah diri namun suspek enggan serta bertindak agresif.

"Suspek kemudiannya telah melarikan diri ke arah jalan utama (Jalan Bukit Gambir) dan bertindak menakutkan pengguna jalan raya dan penduduk kawasan perumahan berhampiran.

"Setelah usaha berterusan dilakukan akhirnya suspek berjaya ditahan pada jam 11.40 pagi tadi dan merampas dua bilah sabit," katanya.

Hasil siasatan awal, Soffian berkata, suspek berusia 53 tahun itu mempuyai 10 rekod lampau melibatkan satu kes jenayah dan sembilan melibatkan dadah.

"Saringan air kencing suspek juga positif heroin. Kita masih menyiasat bagi mengenal pasti punca serta motif kejadian.

"Selain itu, suspek akan dirujuk ke hospital bagi menjalani rawatan dan penilaian tahap kesihatan mental.

"Tiada orang awam atau anggota keselamatan mengalami kecederaan selain tiada harta benda awam atau persendirian yang dirosakkan," katanya.

Beliau memberitahu, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Senjata Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sebelum ini, tular klip video di media sosial menunjukkan seorang lelaki mengamuk dan mengganggu lalu lintas di Jalan Bukit Gambir, di sini dengan membawa senjata dipercayai sabit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!