MDHS sedia tutup kawasan rekreasi jika gagal patuh SOP

MDHS tidak teragak-agak ambil tindakan tegas terhadap pengunjung yang tidak mematuhi SOP di kawasan rekreasi.
MDHS tidak teragak-agak ambil tindakan tegas terhadap pengunjung yang tidak mematuhi SOP di kawasan rekreasi.
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bersedia untuk menutup kawasan rekreasi di daerah itu sekiranya pengunjung tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Yang Dipertuanya, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, tinjauan umum di beberapa kawasan mendapati pengunjung mula alpa dengan pematuhan SOP apabila penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka mula diabaikan.

Selain itu beliau berkata, kawasan rekreasi di daerah itu turut menjadi kotor apabila pengunjung tidak menjaga kebersihan dengan meletakkan sampah sarap di celah pokok, batu serta membuang sisa makanan ke dalam sungai.

"Memandangkan daerah Hulu Selangor mempunyai banyak kawasan tarikan pelancongan dan perkelahan, daerah ini juga tidak terlepas menerima pengunjung yang begitu ramai di luar kebiasaan.

"Kami memahami perasaan dan keinginan rakyat untuk keluar bebas setelah lama dikurung bersama keluarga bagi menjalankan aktiviti harian seperti sebelum ini.

"Diharapkan rakyat dapat memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan mematuhi semua garis panduan serta SOP yang ditetapkan demi keselamatan dan kesihatan," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Hasry berkata, pihak berkuasa juga akan membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas sekiranya pengunjung gagal mematuhi SOP yang ditetapkan

"Aspek penguatkuasaan akan diperketatkan terutamanya di kawasan pelancongan dan rekreasi pada hujung minggu," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, rakyat sewajarnya mengambil iktibar dan belajar banyak perkara daripada apa yang berlaku sebelum ini dengan peningkatan kes Covid-19.

"Sikap tanggungjawab dalam mematuhi SOP dan menjaga kebersihan perlu ditanamkan dalam diri sendiri dan tidak perlu diingatkan lagi kerana rakyat sudah sedia maklum dengan langkah-langkah penjagaan diri serta hidup dengan wabak Covid-19," katanya.