Jendela: Sabah, Sarawak terima RM7.7 bilion beralih kepada 5G

Ismail Sabri berucap pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri berucap pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun sebagai persediaan untuk Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun ketika ini kerajaan fokus untuk memulihkan sektor ekonomi namun infrastruktur dan kemudahan asas juga turut diberi tumpuan bagi memastikan pembangunan mampan serta seimbang merentasi wilayah.

Beliau berkata, kerajaan memahami keperluan dan kepentingan Keluarga Malaysia terhadap capaian internet berkelajuan tinggi.

"Bagi mencapai hasrat ini, Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) 2021 hingga 2025 akan diperluaskan lagi.

"Sebagai langkah siap siaga negeri Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G, kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun dengan negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM3.61 bilion dan Sarawak RM4.09 bilion," katanya dalam ucapan perutusan sempena sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis malam.

Ismail Sabri berkata, Jendela menjanjikan liputan serta kemudahan internet lebih baik dan meluas demi manfaat bersama Keluarga Malaysia khususnya di negeri di bawah bayu dan bumi kenyalang.

"Jaminan saya, kerajaan terus komited memperbaiki perkhidmatan jalur lebar di kedua-dua negeri ini. Tiada sesiapa yang akan ketinggalan, setiap orang akan mempunyai akses ke dunia digital dan semua orang mesti berhubung.

"Perkhidmatan ini akan memberi manfaat kepada 3.8 juta penduduk di Sabah dan 2.8 juta penduduk di Sarawak. Semoga selepas ini, kita tidak lagi mendengar ada Keluarga Malaysia, yang terpaksa memanjat pokok atau bumbung rumah untuk mencari capaian internet pada masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap semua pihak mengambil semangat sambutan Hari Malaysia untuk menghayati dengan mendalam makna sambutan yang bersejarah itu.

"Sebagai Keluarga Malaysia yang besar, kita harus bertoleransi dalam semua perkara, hormat-menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara Malaysia yang dicintai.

"Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara.

"Perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya serta merentasi ideologi politik menjadi tunjang kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya," katanya.