PM beri jaminan perhalusi isu berkaitan Sabah, Sarawak

Ismail Sabri (depan dua dari kiri) mengiringi Tun Juhar (depan, kiri) sewaktu menghadiri sambutan Hari Malaysia tahun 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (depan dua dari kiri) mengiringi Tun Juhar (depan, kiri) sewaktu menghadiri sambutan Hari Malaysia tahun 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan untuk terus memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan berkaitan kepentingan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) berjanji untuk memberi perhatian terhadap isu yang sering dibangkitkan berkaitan Sabah dan Sarawak.

"Setiap kali menjelang Hari Malaysia, persoalan 'equal partners' (rakan setara) sering dibangkitkan.

"Kerajaan memberi jaminan untuk terus memperhalusi perkara-perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan, menerusi Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Sarawak serta lapan Menteri Persekutuan," katanya dalam ucapan perutusan sempena sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis malam.

Beliau berkata, usaha itu membuktikan bahawa kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi Sabah dan Sarawak.

"Kita perlu bersyukur, meskipun Malaysia sebuah negara yang negeri-negerinya terpisah oleh Laut China Selatan, setiap cabaran telah berjaya ditangani dan dihadapi dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.66 bilion kepada Sabah dan RM4.47 bilion kepada Sarawak untuk tujuan pembangunan.

Katanya, peruntukan itu akan disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.

Artikel Berkaitan:

"Dengan hasrat untuk melihat kemakmuran negara dikongsi bersama, sukacita saya mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.66 bilion bagi negeri Sabah, manakala RM4.47 bilion bagi negeri Sarawak.

"Peruntukan pembangunan ini merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, menerusi prinsip 'Bekerja Bersama Rakyat', kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak agar kemakmuran yang dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama.

"Pada masa yang sama, saya yakin dan percaya bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa mendengar keluh kesah rakyat, kami seupayanya akan mencari jalan penyelesaian," katanya.

Hadir sama sempena sambutan itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia, Datuk Seri Bung Moktar Radin.