Lebih 200,000 pelancong dijangka kunjungi Langkawi

Langkawi menerima 3,200 pelancong pada hari pertama pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan. Foto AFP
Langkawi menerima 3,200 pelancong pada hari pertama pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan. Foto AFP
A
A
A

LANGKAWI - Majlis Pemulihan Negara (MPN) yakin kedatangan pelancong di Pulau Langkawi akan meningkat melebihi jumlah yang disasarkan iaitu 200,000 orang sehingga Disember depan.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kadar pelancong yang disasarkan itu boleh berubah kerana ia agak konservatif di peringkat awal pelaksanaan projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi terbabit.

Bagaimanapun beliau berkata, semuanya akan berjalan lancar setelah tahap keyakinan rakyat dan pengusaha industri pelancongan di sini meningkat.

"Saya jangka bila mana 'level of confidence' dalam kalangan pengusaha meningkat dan kemudahan yang disediakan kembali boleh digunakan pelancong, selain penerbangan dari luar negara boleh masuk ke sini maka kadar kedatangan pelancong ke Langkawi itu boleh berubah," katanya ketika sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama pengusaha hotel, homestay, kereta sewa dan pemandu teksi Langkawi di sini pada Khamis.

Muhyiddin
Muhyiddin

Menurutnya, dengan kapasiti 12,000 bilik di Langkawi juga mampu menampung kedatangan pelancong yang lebih ramai.

"Insya-ALLAH lebih banyak lagi hotel baharu akan dibina bila keadaan bertambah baik lagi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, beliau turut menjangkakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) terutama berkaitan rentas negeri apabila negara mencapai tahap imuniti kelompok yang diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Pada Oktober ini lebih banyak negeri akan beralih kepada Fasa Dua atau Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara nanti dan ini satu perkembangan yang baik.

"Rakyat akan dibenarkan menjalankan lebih banyak aktiviti bukan hanya dalam sektor pelancongan tetapi juga perniagaan, pengangkutan dan perkilangan.

"Apa yang penting kita hendak lihat proses pemulihan itu cepat, kita tidak boleh tangguh kerana kita telah menanggung kos yang terlalu mahal dalam tempoh setahun yang lalu disebabkan pandemik Covid-19," katanya.