Pengusaha taska, ibu bapa diingat patuh SOP

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha taska, tabika, tadika dan pusat jagaan harian serta ibu bapa diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berikutan kebenaran pengoperasian taska di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, mengambil kira hal ehwal kebajikan anak-anak di rumah sewaktu ibu bapa bekerja, pembukaan taska adalah inisiatif terbaik dalam membantu ibu bapa yang bekerja.

"Justeru saya berharap pengoperasian taska serta kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dapat dimanfaatkan oleh pengusaha taska serta ibu bapa dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab mengikut SOP yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini paad Khamis.

Beliau berkata, bagi memastikan SOP dipatuhi, kementerian dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan pemantauan dari masa ke masa ke atas taska-taska yang mula beroperasi.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua PPN berkuat kuasa esok.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kanak-kanak yang menjadi yatim atau yatim piatu akibat pandemik Covid-19 boleh ditempatkan di institusi Jabatan JKM sekiranya tidak mempunyai waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kanak-kanak ini akan diambil perintah sementara melalui mahkamah dan diletakkan sama ada kepada keluarga ganti/Orang Yang Layak Dan Sesuai (OYLS) atau institusi tempat selamat," katanya.

Beliau berkata, tujuh institusi JKM telah ditetapkan mengikut zon untuk jagaan dan perlindungan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Siti Zailah berkata, inisiatif berkenaan adalah antara langkah kementerian bagi memberi bantuan serta sokongan kepada kanak-kanak tersebut selain bantuan bulanan bagi menampung keperluan hidup kanak-kanak dan anggota keluarga mereka.

Katanya, jenis bantuan yang diberikan adalah Tabung Bantuan Segera dan Bantuan Kanak-Kanak selain Bantuan Anak Pelihara sebanyak RM250 sebulan seorang kanak-kanak dengan maksimum RM500 sebulan sekeluarga yang memelihara dua orang kanak-kanak atau lebih bagi keluarga yang sedang memberi jagaan kepada kanak-kanak terlibat.

"Selain itu perkhidmatan kaunseling disediakan bagi kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa atau penjaga. Bantuan kaunseling turut diberikan kepada anggota keluarga kanak-kanak sekiranya mereka memerlukan perkhidmatan tersebut," katanya.

Tambahnya, kementerian juga menjalinkan kerjasama dengan ahli komuniti setempat seperti ketua kampung, sukarelawan dan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK) untuk memberi bantuan dan sokongan secara berterusan kepada kanak-kanak dan ahli keluarga supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sehingga 13 September lepas, 4,422 orang murid sekolah di bawah KPM telah kehilangan ibu atau bapa atau penjaga akibat Covid-19 serta menjadi anak yatim atau yatim piatu akibat wabak itu. - Bernama