Mullah Abdul Ghani disenarai 100 individu paling berpengaruh dunia

Mullah Abdul Ghani - Foto Agensi
Mullah Abdul Ghani - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Majalah berita antarabangsa, Time yang mempunyai edaran meluas di seluruh dunia telah menyenaraikan penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Abdul Ghani Baradar sebagai antara 100 individu paling berpengaruh di dunia tahun ini.

Nama pengasas bersama gerakan Taliban itu tersenarai di tangga ke-20 dalam kategori pemimpin.

Time menggambarkan Mullah Abdul Ghani sebagai pemimpin tentera penuh karismatik dan seorang individu yang warak.

Majalah yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu turut menyebut Mullah Abdul Ghani sebagai 'tumpuan masa depan Afghanistan'.

Pada awal minggu ini, Mullah Abdul Ghani mengeluarkan kenyataan audio bahawa beliau masih hidup selepas berita kematiannya tular di media sosial.

Spekulasi rancak diperkatakan di media sosial terutama di India, di mana khabar angin mendakwa Mullah Abdul Ghani cedera parah dalam pertempuran antara puak Taliban yang tidak sealiran di istana Presiden.

Selain pemimpin dunia, senarai kategori bagi 100 individu paling berpengaruh 2021 Majalah Time, antara lain turut merangkumi artis dan ikon.

Senarai penuh 100 individu paling berpengaruh berkenaan boleh dilihat di laman web majalah berkenaan. - Agensi

Artikel Berkaitan: