Pembuangan sisa terjadual: Pemain industri ambil jalan mudah

Mohd Fadhil
Mohd Fadhil
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembukaan semula ekonomi selepas sekian lama perlahan dipercayai menjadi faktor utama terdapat segelintir pemain industri untuk mengambil jalan mudah bagi melupuskan sisa terjadual secara haram dan merbahaya.

Pengarah Kelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Mohd Fadhil Md Din berkata, perkara itu berlaku berikutan pihak tidak bertanggungjawab ini tidak mahu memikirkan sebarang kesan untuk bersedia bagi memulakan operasi di premis selain menjimatkan kos.

Beliau berkata, kefahaman orang ramai mengenai kesan jangka panjang akibat perbuatan tidak bermoral seperti ini sering kali dipandang mudah oleh segelintir pemain industri turut menjadi faktor mengapa insiden pencemaran berulang.

"Secara dasarnya, kita boleh kata faktor lokasi memainkan peranan, kita maklum yang Johor merupakan negeri perindustrian sedang meningkat naik, jadi banyak pelabur dan pemain industri baharu mahu bertapak di sini.

"Selain daripada mengambil untung, ada dalam kalangan mereka ini yang tidak mengambil peduli mengenai lebihan daripada sisa-sisa perindustrian mereka. Sebaliknya mereka mengambil jalan mudah lupuskan sisa dengan cara tidak sah ataupun teratur.

"Ini bukan perkara baharu, dengan keadaan sekarang ekonomi sudah dibuka selepas PKP jadi untuk cepat, mereka guna cara ini. Pertama kos memang murah daripada kaedah sah dan ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan atas situasi ini, selain ketidakpedulian terhadap alam sekitar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada petang Khamis.

Mohd Fadhil berkata, selain beranggapan kaedah pelupusan haram ini menjimatkan, pemain industri yang tidak bertanggungjawab ini juga dilihat tidak mahu melalui kaedah birokrasi yang ditetapkan untuk pembuangan secara sah dan tidak didedahkan dengan kesan dibuat mereka secara kajian yang lebih saintifik.

"Saya yakin yang mereka ini (pemilik kilang atau pemain industri) tahu apa bahan yang mereka gunakan dalam operasi mereka tetapi adakah mereka tahu kesannya jika ia tidak diuruskan secara betul. Malah ada yang guna kaedah haram ini sebab mereka tidak mahu uruskan prosedur khusus yang telah disediakan oleh pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

"Itu sebab ada pihak diberi tanggungjawab dan mempunyai lesen untuk mengendalikan sisa ini, sebab mereka tahu bagaimana cara yang betul. Sisa buangan ini ada banyak kod khusus, ada yang perlu disimpan, ditutup dengan betul dan ada yang akan bertindak balas bila bercampur dengan bahan lain, contoh apabila dibuang ke persekitaran," katanya.

Beliau yang juga pengkaji alam sekitar dan pencemaran memaklumkan terdapat pelbagai kesan sama ada jangka pendek mahupun panjang jika perkara ini tidak dibendung dengan sempurna.

"Perkara ini saya dan kumpulan saya ada buat kajian asas kerana ia akan melibatkan pelbagai aspek bukan sahaja kepada kesihatan tetapi psikologi. Ambil kesan masa pendek. Kebanyakan sisa dibuang ini adalah sisa boleh mengewap (volatile) bergantung kepada komposisi bahan tersebut, jadi semestinya perkara pertama berlaku adalah bau yang agak kuat dan tidak menyenangkan akan berlaku sebagai kesan awal terhadap tindakbalas ini.

"Di sini kita akan lihat penduduk boleh mengalami simptom seperti loya, muntah dan paling buruk sesak nafas. Mungkin jika penduduk dewasa yang imun badan lebih kuat tiada masalah tetapi bagi kanak-kanak ia sangat merbahaya," katanya.

Selain itu, katanya, apabila insiden seperti ini kerap berlaku, kesihatan mental penduduk setempat juga akan menjadi bercelaru dan membawa kepada masalah lain seperti ketakutan dan kebimbangan untuk meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

"Bagi penduduk, apabila mereka telah kena sekali, mereka akan mudah bimbang. Jadi selepas ini apabila mereka terhidu sekali lagi, pemikiran itu akan terus bermain mengatakan ia adalah pencemaran, bau toksik walaupun sebenarnya bau itu datang daripada rumah mereka sendiri. Jika keadaan ini berterusan ia menjadi lebih serius.

"Apa yang paling saya takuti pula adalah kesan jangka panjang yang mana jika bahan atau sisa tidak terkawal ini tidak dipulihkan, bahan itu boleh menyerap dalam tanah. Tidak mustahil ia boleh memberi impak lebih buruk terutama melibatkan saliran atau sumber makanan melalui tanaman," katanya.

Justeru, beliau turut mencadangkan agensi atau pihak berkaitan untuk mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi atas segala kesalahan melibatkan alam sekitar khususnya pembuangan sisa terjadual secara haram seperti ini.

Mohd Fadhil yang sebelum ini turut terlibat dengan kumpulan pengkaji pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang memaklumkan pendekatan paling cepat boleh diambil pihak berkuasa adalah mendedahkan dengan lebih meluas hukuman yang boleh dikenakan.

"Jumlah denda itu sahaja kalau boleh dihebahkan lagi, RM500,000 itu adalah jumlah besar dan jika boleh, ia dipinda sehingga RM1 juta atau RM2 juta kepada pelaku lebih baik. Berdasarkan maklumat saya, sebenarnya kos pengurusan sisa terjadual ini tidaklah besar sehingga jumlah denda dikenakan.

"Tetapi jika mereka ini faham yang denda itu lebih mahal (kos jangka pendek), saya yakin mereka-mereka ini tidak akan memalukan syarikat mereka sendiri. Jika kena pastinya nama syarikat terjejas kerana prosedur mahkamah itu pasti akan dilalui sebelum didenda pula," katanya.