X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

'Rumah uzur, banyak kali terjelus jatuh'

Khairul Shahril (kiri) melihat dinding rumah Ramlah (tengah) dan anaknya, Ruziah yang reput dan rosak di Kampung Lambor Kanan.
A
A

PARIT - Rumah bergoyang setiap kali hujan, lantai uzur hingga menyebabkan penghuninya beberapa kali jatuh terjerlus.

Itu keadaan sebuah rumah di Kampung Lambor Kanan di sini yang dihuni tiga beranak sejak 20 tahun lalu.

Rumah pusaka didiami ibu tunggal, Ramlah Mat Nayan, 54, bersama dua anaknya Ruziah Sallehuddin, 16, dan Muhamad Mazlan, 13, masing-masing mengalami masalah pembelajaran itu telah reput dengan sebahagian besar bumbung bocor dan tidak berdinding.

Ruziah berkata, lebih membimbangkan mereka sekeluarga apabila cuaca buruk kerana rumah akan bergoyang dan pada waktu malam pula dimasuki orang atau haiwan berbisa.

"Bumbung memang banyak bocor hinggakan susah untuk tadah jika hujan, jadi kami pasang plastik kanvas untuk halang air daripada menitik. Pernah juga kami terjatuh ke tanah disebabkan lantai dapur sudah reput.

"Dengan keadaan rumah sebegini memanglah tidak selesa dan selamat, tetapi kami tidak ada pilihan selain hanya mampu bertahan duduk di sini," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Kebimbangan keluarga itu bagaimanapun bakal berakhir apabila mereka terpilih sebagai penerima rumah baharu di bawah program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Keadaan rumah pusaka di diami Ramlah bersama dua anaknya di Kampung Lambor Kanan yang sudah uzur.
Keadaan rumah pusaka di diami Ramlah bersama dua anaknya di Kampung Lambor Kanan yang sudah uzur.

Ruziah yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzaffar Shah mengakui sangat gembira dan bersyukur apabila kepayahan hidup mereka sekeluarga mendapat perhatian.

Katanya, rumah baharu adalah impian ibu dan arwah bapanya, namun tidak tercapai kerana mereka tidak mampu.

"Selepas ayah meninggal dunia pada November 2019, emak hanya bekerja mengambil upah membuat kerja kampung dan mencuci rumah orang dengan pendapatan RM20 hingga RM30 sehari untuk menyara kami dua beradik.

"Bila dapat tahu kami akan terima rumah baharu, emaklah orang paling gembira. Walaupun hasrat ayah tidak kesampaian, sekurang-kurangnya kami ada kediaman yang lebih selesa dan selamat," katanya.

Rumah keluarga ini akan dibina di sebuah tapak baharu di Kampung Rimba Raja di sini.

Hadir sama meninjau tapak baharu rumah berkenaan adalah Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Ir Sharuddin Mohd. Simin.

Sementara itu, Khairul Shahril berkata, kerja-kerja pembinaan rumah itu akan dimulakan dua minggu lagi lengkap dengan kemudahan tiga bilik dan dua bilik air.

Katanya, keluarga Ramlah antara dua penerima bantuan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

"Seorang lagi penerima dari Kampung Seri Kaya yang rumahnya terbakar. Bagi keluarga Ramlah sebelum ini terdapat masalah pemilikan tanah, jadi kita carikan mereka tapak kosong untuk membolehkan pembinaan rumah baharu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!