X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

4,000 pelajar UPM kembali ke kampus bermula 15 Oktober

A
A

PUTRAJAYA - Kira-kira 4,000 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) termasuk pelajar daripada keluarga dalam golongan B40 dan pelajar yang berkeperluan Internet akan kembali ke kampus universiti bagi fasa pertama sesi 2021/2022 bermula 15 Oktober ini.

Naib Canselor UPM, Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, hanya golongan pelajar berkeperluan termasuk yang menjalani latihan klinikal, latihan mengajar, latihan industri yang memerlukan penginapan dalam kampus, serta pelajar yang perlu menjalankan penyelidikan di makmal sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus bermula 15 hingga 17 Oktober ini.

Beliau berkata, UPM akan melaksanakan tindakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi memastikan keselamatan warga kampus kembali ke Pusat Tanggunggjawab (PTJ) masing-masing dan kemasukan semula pelajar ke kampus bagi sesi 2021/2022 ekoran pandemik Covid-19 yang belum reda.

Katanya, kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berfasa dilaksanakan sepertimana yang diluluskan, dan mengambil kira semua pematuhan peraturan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam satu kenyataan di sini pada Khamis, beliau berkata, entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) kini giat membuat persediaan bagi menerima kemasukan pelajar ke kampus, antaranya penyelarasan data pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus selepas melengkapkan dua dos vaksin, pergerakan pelajar dan persediaan kolej kediaman.

"Sehingga kini 88.5 peratus staf akademik dan bukan akademik telah menerima vaksin. Proses vaksinasi staf dan pelajar giat dijalankan di Hospital Pengajar (HPUPM) yang turut memanjangkan perkhidmatan itu kepada orang awam," katanya.

Dr Mohd Roslan berkata, sesi pembelajaran akan dilaksanakan mengikut tiga fasa memandangkan para pelajar akan kembali ke kampus secara berperingkat.

Katanya, fasa pertama membabitkan kemasukan bagi kumpulan pelajar yang berkeperluan melibatkan latihan klinikal, latihan mengajar, latihan industri yang memerlukan penginapan dalam kampus, pelajar yang perlu menjalankan penyelidikan di makmal, pelajar B40 dan yang memerlukan kemudahan internet serta persekitaran yang kondusif bermula 15 hingga 17 Oktober.

Beliau berkata, kemasukan fasa kedua adalah bagi kumpulan pelajar yang perlu menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) di makmal (kuliah akan dijalankan secara dalam talian-PdP secara hibrid) bermula 3 hingga 7 November dan fasa ketiga membabitkan kemasukan sepenuhnya pelajar ke kampus kecuali yang belum lengkap dua dos vaksin.

Beliau berkata, PdP bagi fasa ketiga akan dilaksanakan secara bersemuka dan hibrid tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat bermula 10 hingga 12 Disember.

Dr Mohd Roslan berkata, pencapaian pelajar secara keseluruhannya tidak terjejas dengan pelaksanaan kaedah penyampaian secara dalam talian sepanjang pandemik Covid-19, malah analisis pencapaian pelajar menunjukkan peningkatan pencapaian semasa pembelajaran secara dalam talian pada Semester Kedua 2019/2020 dan Semester Pertama 2020/2021. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!