X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Pembukaan semula Bangkok ditunda ke 15 Oktober

Pembukaan semula bandar raya Bangkok kepada pelancong lengkap vaksin Covid-19 yang sepatutnya bermula 1 Oktober, ditunda kepada 15 Oktober.
A
A

BANGKOK - Pembukaan semula bandar raya Bangkok kepada pelancong lengkap vaksin Covid-19 yang sepatutnya bermula 1 Oktober, ditunda kepada 15 Oktober kerana belum mencapai sasaran kadar vaksinasi.

Menteri Pelancongan dan Sukan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, setakat ini hanya kira-kira 37 peratus penduduk Bangkok lengkap dua dos vaksin Covid-19, sedangkan sasaran ditetapkan adalah 70 peratus.

"Sebanyak 33 peratus lagi penduduk bandar raya ini dijadualkan menerima dos kedua vaksin AstraZeneca selepas selang masa antara lapan dan 12 minggu," katanya.

Keputusan penangguhan itu dibuat selepas Phiphat dan Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang mengadakan perbincangan berhubung pembukaan semula Bangkok dan empat wilayah lain - Chonburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan dan Chiang Mai.

Memandangkan ramai pelancong memilih mengunjungi Bangkok sebelum ke wilayah lain, Phiphat berkata, kementerian akan melancarkan program perintis membolehkan pelancong tinggal di bandar raya itu selama tujuh hari sebelum melakukan perjalanan ke lapan wilayah lain iaitu Pattaya, Chiang Mai, Hua Hin, Cha-am, Phuket, Koh Samui, Krabi dan Phang Nga.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Siriraj, Profesor Dr Prasit Watanapa mencadangkan pembukaan semula Bangkok pada 1 November kerana kadar vaksinasi Covid-19 masih belum mencapai 'tahap selamat'.

"Kerajaan perlu menunggu sebulan lagi untuk memastikan negara ini sedia untuk dibuka semula kepada pelancong.

“Kita telah belajar daripada program Phuket Sandbox bahawa orang yang telah lengkap divaksinasi masih boleh dijangkiti dan menyebarkan penyakit ini. Saya juga syorkan supaya mengekalkan peraturan kuarantin buat sementara waktu,” katanya.

Tambah beliau, tarikh 1 Oktober, adalah ‘terlalu cepat' untuk Thailand membuka semula pintu kepada pelancong asing memandangkan hanya 38 peratus penduduk telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala hanya 18 peratus lengkap dua dos.

Sementara itu, Thailand merancang untuk menyuntik 4.35 juta pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun sebelum sekolah dibuka semula, kemungkinan pada November.

Setiausaha Tetap Pendidikan, Supat Champathong berkata, inokulasi dijadualkan bermula bulan depan dan suntikan dos kedua diberikan tiga minggu kemudian.

"Kami berharap sekolah akan dibuka semula untuk semester kedua pada November tahun ini," katanya.

Sejak 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 13, 897 kes baharu Covid-19 dan 188 kematian. Jumlah keseluruhan kes di negara ini adalah sebanyak 1,434, 237 dan korban seramai 14,953. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!