X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

MoU dwipartisan beri laluan kepada pemulihan lancar Malaysia

Mohd Sheriff
A
A

KUALA LUMPUR - Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini hampir dengan sambutan Hari Malaysia dan hanya beberapa minggu selepas Hari Kemerdekaan memberikan harapan bahawa negara sedang bergerak ke arah pemulihan pandemik yang lancar dengan ahli politik berikrar untuk menggembleng tenaga bersama-sama demi kepentingan negara dan rakyat.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Kassim yang berkongsi pandangannya baru-baru ini berkata, beliau menjangkakan akan berlaku penambahbaikan dalam pertanggungjawaban dan ketelusan dalam kalangan kerajaan dan PH.

“Ini bermakna semua inisiatif kerajaan akan dilaksanakan dengan lebih telus dan secara bertanggungjawab, dan akan kurang peluang untuk menyalahgunakan kuasa dan rasuah.

“Ini penting kerana negara amat memerlukan pemulihan, ekonomi dan juga sosial,” katanya kepada Bernama selepas sesi perkongsian semasa persidangan meja bulat maya mengenai 'Dasar Ekonomi Baharu (DEB): Cerminan DEB selepas 50 Tahun' anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik pada Rabu.

Mohd Sheriff berkata, beliau kini lebih yakin negara sedang bergerak maju kehadapan berbanding beberapa hari lepas.

“Saya melihat cahaya di hujung terowong, sesuatu yang baharu bagi negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun negara berdepan antara krisis paling buruk yang pernah dihadapi, rakyat perlu merasa bersyukur kerana sudah ada kemajuan bagi Malaysia untuk pulih daripada pandemik Covid-19 ini dan mereka kini boleh kembali perlahan-lahan kepada kehidupan biasa.

Pada Isnin lepas, kedua-dua kerajaan dan PH mencipta sejarah negara dengan memeterai MoU transformasi dan kestabilan politik yang membuka laluan bagi landskap politik baharu berasaskan kerjasama dwipartisan.

Mou itu merangkumi enam aspek iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Menurutnya, Malaysia dianggap sangat bertuah memandangkan ada beberapa sektor ekonomi tertentu mencatatkan prestasi amat baik semasa pandemik terutamanya komoditi utama (minyak mentah dan minyak sawit mentah), pembuatan dan peralatan perubatan.

Sementara itu, semasa perbincangan meja bulat mengenai DEB, beliau berpendapat, selepas 50 tahun pelaksanaannya dengan peningkatan peluang yang besar dalam pendidikan dan latihan serta semakin ramai lepasan ijazah daripada universiti utama, orang Melayu kini mampu untuk melakar kejayaan mereka sendiri dalam sektor perindustrian moden dan komersial.

“Jadi, dasar layanan istimewa kepada orang Melayu perlu dikaji semula agar mereka terdorong untuk bersaing berdasarkan prestasi mereka sendiri. Malahan daripada pemerhatian saya, golongan orang muda Melayu hari ini tidak lagi berminat untuk bekerja di pejabat seperti zaman-zaman dahulu.

“Mereka lebih suka melakukannya dengan cara mereka sendiri. Dengan transformasi digital di negara ini, saya melihat mereka melakukan banyak perkara yang luar biasa untuk menjana pendapatan dengan bekerjasama bersama kaum lain. Jadi saya percaya generasi baharu boleh menjaga diri mereka sendiri,” kata Mohd Sheriff.

Beliau juga percaya, apabila ekonomi mula dibuka, akan ada banyak peluang bagi golongan muda yang mengasah kemahiran baharu semasa tempoh sekatan pergerakan, bekerja sendiri menggunakan teknologi digital dan komunikasi secara dalam talian untuk menjual produk atau menyediakan perkhidmatan profesional dan perundingan bagi meraih pendapatan sebagai pekerja gig yang bekerja sendiri.

“Pandemik ini telah mengubah cara kita bekerja dan gaya hidup kita, oleh itu kita semua perlu belajar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beberapa bahagian seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih memerlukan pembaharuan segera.

“Sesetengah daripada GLC penting kepada negara disebabkan peranan pembangunan mereka dan kepentingan strategik mereka kepada ekonomi.

“GLC yang baik ini perlu dikekalkan, tetapi bagi GLC yang tidak penting dan tidak mencatatkan prestasi perlu ditutup; dan kebelakangan ini ada sesetengah GLC yang mempunyai kaitan politik yang kuat menerusi pelantikan orang politik ke jawatan lembaga pengarah,” katanya.

Reputasi negara dalam amalan korporat yang baik akan terjejas sekiranya pempolitikan GLC tidak dihentikan, tegasnya.

Sementara itu mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dijadual dibentangkan pada 27 September ini, beliau berkata, ia merupakan peluang yang baik bagi negara untuk mengubah haluannya.

“Harapnya, apabila RMK12 dibentangkan kelak, kerajaan akan mengumumkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menamatkan aspek-aspek negatif pengendalian sosial dan sebaliknya menumpukan kepada dasar inklusif berdasarkan kepada keperluan dan bukannya kaum,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!