Bazar Ramadan DBKL: Persatuan tanya, kenapa tapak lain terjejas?

Mohamad menyerahkan peralatan pembersihan kepada peniaga terlibat dalam Program Gotong Royong Perdana di Jalan Haji Hussin, hari ini.
Mohamad menyerahkan peralatan pembersihan kepada peniaga terlibat dalam Program Gotong Royong Perdana di Jalan Haji Hussin, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus didesak mengambil kira peluang peniaga-peniaga tradisi untuk pengagihan tapak bazar Ramadan tahun ini.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah, berkata, pihaknya masih berusaha mendapatkan pertimbangan DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan supaya mengkaji semula pelaksanaan sistem pendaftaran dalam talian bagi permohonan bazar Ramadan kerana menjejaskan peniaga-peniaga asal.

Menurutnya, keputusan DBKL mengambil alih pengurusan semua tapak bazar Ramadan untuk mengelakkan masalah penjualan tapak ibarat menghukum peniaga yang tidak bersalah.

“Kita faham sistem ini untuk elakkan isu jualan tapak bazar tapi kes jualan tapak mungkin berlaku di tapak seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India, tidak di tapak yang menjual juadah di tempat lain. Mengapa bazar juadah ini turut terpalit. Bagaimana dengan nasib peniaga yang dah bertahun-tahun beroperasi di tapak tersebut.

Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan menganjurkan Gotong Royong Perdana di Jalan Haji Hussin.
Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan menganjurkan Gotong Royong Perdana di Jalan Haji Hussin.

“Daripada lebih 4,000 tapak seluruh Kuala Lumpur, sebahagian sahaja iaitu kira-kira 2,000 yang diuruskan persatuan sebelum ini. Jadi mengapa tidak DBKL berikan sebahagian ini kepada peniaga asal,” katanya ditemui pada Majlis Gotong Royong Perdana di Jalan Haji Hussin di sini, hari ini.

Mohamad berkata, DBKL boleh menguatkuasakan tindakan terhadap pihak yang mengambil kesempatan menjual tapak kepada pihak ketiga dan pihak persatuan bersedia memberi kerjasama.

“Beri peluang kepada kami. DBKL juga perlu kenal pasti peniaga asal kawasan itu. Dengan sistem online siapa yang mohon sukar dikenal pasti. Sebaliknya persatuan yang uruskan selama ni sudah kenal peniaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad tetap mempertahankan keputusan untuk tidak membenarkan mana-mana pihak menganjurkan bazar Ramadan.

Sebaliknya DBKL akan mengambil alih semua pengurusan bazar Ramadan dan memperkenalkan sistem permohonan dalam talian untuk 56 tapak bazar sekitar ibu negara.