X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Bekas juruteknik cipta rekod MBOR lari 83KM

Muhammad Zafri melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk rekod 'Larian Solo Paling Jauh di atas Litar Antarabangsa Sepang'. - Foto Bernama
A
A

SEPANG - Bekas juruteknik di sebuah syarikat penerbangan, Muhammad Zafri Munawwar Ab Aziz, 28, melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk rekod 'Larian Solo Paling Jauh di atas Litar Antarabangsa Sepang'.

Beliau yang memulakan larian pada pukul 6.30 petang Rabu telah berlari sejauh 83 kilometer (km) atau kira-kira 15 pusingan dalam tempoh 12 jam mengelilingi litar di kawasan Litar Antarabangsa Sepang di sini.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, beliau telah diminta oleh Kelab Belia Prihatin untuk mewakili kelab itu dalam misi yang dinamakan Larian Malaysia Gembira 2021 sempena sambutan Hari Malaysia pada Khamis.

Berkongsi cabaran dihadapi, Muhammad Zafri Munawwar berkata, pada mulanya beliau hanya diminta untuk berlari selama 12 jam dengan jarak minimum 42km, namun pada saat-saat akhir pihak MBOR memintanya berlari sejauh lebih 80km bagi memastikan rekod dapat dicipta.

"Masa itu saya dah hampir putus asa sebab saya tak pernah berlari sejauh itu. Paling jauh saya pernah lari pun 42km sahaya, latihan pun hanya sebulan lebih sahaja, tetapi dengan semangat yang diberikan oleh ibu dan rakan-rakan dalam Kelab Belia Prihatin, saya teruskan juga cabaran ini.

Sepanjang larian itu, rakan-rakan dari kelab berada di sekitar litar ini untuk memberikan semangat kepada saya, kiranya saya tidak keseorangan sepanjang melaksanakan misi ini," katanya sambil menambah beliau hanya berhenti sebanyak tiga kali untuk solat dan makan.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penutup Larian Malaysia Gembira 2021 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Pengasas Kelab Belia Prihatin, Luqman Hakim Md Zim.

Pada majlis itu, Wan Ahmad Fayhsal menyerahkan sijil pengiktirafan MBOR kepada Muhammad Zafri Munawwar sambil disaksikan Perunding Rekod Kanan MBOR, Edwin Yeoh.

Sementara itu, Luqman Hakim berkata, sempena sambutan Hari Malaysia, Kelab Belia Prihatin melancarkan Misi Malaysia Gembira dengan tujuan mengumpul dana sebanyak RM200,000 untuk melaksanakan tiga projek utama iaitu Projek Hab Belia Gembira, Projek Bakul Gembira dan Projek Kayak Gembira.

"Bagi Projek Kayak Gembira, kelab bercadang membeli beberapa kayak untuk diletakkan di tasik-tasik di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang berhampiran dengan kediaman belia daripada kumpulan B40 dan M40.

Kita pilih kayak kerana nak beri lebih pilihan kepada para belia di kawasan itu beriadah dengan gembira dan ia secara tak langsung dapat menyumbang kepada kesejahteraan mental," katanya.

Dalam majlis itu, Wan Ahmad Fahysal mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 kepada Kelab Belia Prihatin dan beliau berharap lebih banyak pertubuhan belia dapat menjayakan misi-misi yang menyumbang ke arah perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!