Empat hari sebagai penanda aras

Mohd Shuhaily (tengah) sedang bertanya sesuatu kepada pengunjung di salah sebuah pantai di Tanjung Bungah.
Mohd Shuhaily (tengah) sedang bertanya sesuatu kepada pengunjung di salah sebuah pantai di Tanjung Bungah.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis akan menggunakan empat hari bermula Khamis hingga Ahad sebagai penanda aras (indikator) untuk mengambil tindakan selanjutnya di beberapa lokasi tumpuan termasuk persisiran pantai di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah mengarahkan semua ketua polis daerah untuk memantau dan merakam semua lokasi tumpuan sepanjang empat hari ini bagi menentukan tindakan selanjutnya diambil.

"Saya menjalankan program 'outreach' di tiga lokasi tumpuan untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita mengambil kira dari penambahan jumlah kereta dan orang ramai yang keluar pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Kita mendapati, orang keluar ke lokasi riadah minggu lalu terlalu ramai. Bagaimanapun, setakat ini, selepas saya pantau sendiri, didapati mereka yang keluar beriadah tidak ramai," katanya ketika ditemui di Tanjung Bungah selepas mengetuai program 'outreach' di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai pematuhan SOP orang ramai ketika pemantauan dijalankan, Mohd Shuhaily berkata, setakat ini keadaan masih terkawal namun pemantauan akan diteruskan.

Mohd Shuhaily (tengah) meninjau kawasan pantai di Tanjung Bungah.
Mohd Shuhaily (tengah) meninjau kawasan pantai di Tanjung Bungah.

Artikel Berkaitan:

"Jika ikutkan, memang ada yang boleh dikompaun tetapi untuk waktu ini, kita lebih kepada menasihati dahulu. Bagaimanapun, jika jumlah jangkitan naik dengan mendadak, kita akan mengambil tindakan tegas," katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya orang ramai akan mengambil cuti pada Jumaat susulan Khamis merupakan hari cuti umum.

"Jadi kita ambil empat hari ini sebagai indikator kerana hari ini cuti umum, esok (Jumaat) saya percaya ramai akan ambil cuti dan disambung pula dengan dua hari Sabtu dan Ahad (hari minggu).

"Jika dalam pemantauan empat hari ini berlaku peningkatan jumlah orang yang mendadak, jika perlu, kita akan syorkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk menutup premis dan lokasi yang boleh mewujudkan kluster," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya akan meminta pusat pemberian vaksin (PPV) secara 'walk-in' bagi golongan bukan warganegara menggunakan mekanisme memberi nombor giliran kepada penerima vaksin bagi mengelak berlaku kesesakan.

Mohd Shuhaily (tengah) sedang bertanya sesuatu kepada pengunjung di salah sebuah pantai di Tanjung Bungah.
Mohd Shuhaily (tengah) sedang bertanya sesuatu kepada pengunjung di salah sebuah pantai di Tanjung Bungah.

Katanya, empat PPV akan mula menawarkan suntikan vaksin Covid-19 secara 'walk-in' kepada warga asing di negeri ini bermula Jumaat.

"Esok akan bermula proses pemberian vaksin melalui 'walk-in' kepada warga asing. Oleh itu, kita akan meningkat penguatkuasaan di PPV terlibat. Selain itu, kita juga minta PPV terlibat sediakan sistem nombor.

"Sebagai contoh, jika jumlah vaksin pada hari itu hanya 500, maka hanya 500 sahaja nombor giliran diberikan kepada mereka.

"Mereka yang tidak mendapat nombor akan diarahkan pulang. Ia bagi memastikan tidak berlaku kesesakkan dan pelanggaran SOP (dengan cara berkumpul)," katanya.

Pada Rabu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan insiatif empat PPV yang menjalankan pemberian vaksin secara 'walk-in' kepada warga asing iaitu satu di bahagian pulau, SPICE Convention Centre manakala tiga lagi di kawasan tanah besar iaitu di Dewan Milenium, SP Arena dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap.