Pelancong positif Covid-19 di Langkawi perlu jalani kuarantin

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyambut pelancong daripada penerbangan pertama yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Khamis.
Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyambut pelancong daripada penerbangan pertama yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Khamis.
A
A
A

LANGKAWI - Pelancong yang dikesan positif sebaik tiba di pulau peranginan ini akan diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan ujian pengesanan Covid-19, namun kemungkinan akan ada pelancong yang 'terlepas'.

Katanya, bagi golongan terbabit mereka akan dibawa terus ke CAC atau jika perlu mereka boleh dirawat di Hospital Sultanah Maliha atau memilih kuarantin di hotel atau di PKRC," katanya pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan pelancong di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerajaan negeri juga bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) di Lapangsasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (LISRAM).

"Anggota pasukan keselamatan dan kakitangan KKM juga mencukupi bagi memantau kemasukan pelancong sebaik mereka tiba di lapangan terbang atau terminal feri.

“Penduduk Langkawi tidak perlu risau, kita ada cukup anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertugas termasuk kakitangan KKM di pintu masuk," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian beberapa lokasi tumpuan di negeri lain yang kotor akibat kehadiran pengunjung yang ramai, beliau berharap perkara itu tidak berlaku di Langkawi.

"Kita di Langkawi agak berbeza kerana pelancong yang masuk melalui pesawat atau feri dan mereka hanya membawa beg pakaian dan mengambil peluang membeli-belah di sini.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang terjadi di lokasi terbabit adalah pengunjung membawa makanan dan berkelah menyebabkan ada sisa sampah, tetapi pelancong di Langkawi banyak yang makan di kedai,” katanya.