Mangsa tanah runtuh terima kunjungan mengejut Perdana Menteri

Ismail Sabri menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Madsiang, Penampang.
Ismail Sabri menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Madsiang, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Tiga keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang, di sini melahirkan rasa bersyukur apabila menerima kunjungan mengejut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis.

Salah seorang mangsa, Doraly John, 36 mengakui terkejut apabila kejadian yang menimpa mereka mendapat perhatian daripada Perdana Menteri yang kebetulan datang ke negeri ini.

"Sebenarnya, saya hanya tahu kira-kira 20 minit sebelum Perdana Menteri tiba melawat kami tiga keluarga yang terjejas akibat tanah runtuh semalam.

"Walaupun masih terkejut dengan kejadian yang berlaku, namun kami bersyukur kerana mendapat perhatian daripada Perdana Menteri," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Dia berkata demikian selepas kira-kira 10 minit Ismail Sabri meluangkan masa melawat lokasi tanah runtuh yang menyebabkan rumah yang didiami Doraly ranap dalam kejadian itu.

Dalam pada itu, Doraly berkata, Perdana Menteri turut memaklumkan akan membina semula rumah mereka yang rosak teruk akibat kejadian itu.

Keadaan rumah yang didiami Doraly bersama ahli keluarganya ranap akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang, Penampang. Gambar kecil: Doraly John
Keadaan rumah yang didiami Doraly bersama ahli keluarganya ranap akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang, Penampang. Gambar kecil: Doraly John

"Perdana Menteri ada juga cakap dia mahu bina rumah kami semula sebab yang rumah lama ini sudah tidak boleh dibaiki.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat bersyukur kerana turut diberi bantuan makanan dan juga sedikit sumbangan," katanya.

Mengimbas semula kejadian itu, Doraly berkata, ia berlaku dalam sekelip mata saja namun bernasib baik apabila semua ahli keluarganya terselamat.

Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama ahli keluarga mangsa yang terkesan akibat tanah runtuh di Kampung Madsiang, Penampang.
Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama ahli keluarga mangsa yang terkesan akibat tanah runtuh di Kampung Madsiang, Penampang.

"Saya ketika itu baru tiba dari pekan dan dalam tempoh dua minit sahaja tiba-tiba berlaku runtuhan tanah dari bukit sehingga menyebabkan kenderaan saya terbalik dan turut menghempap rumah.

"Saya turut tercedera di bahagian pinggang dan kaki akibat dihempap dinding namun disebabkan bimbang dengan keselamatan anak-anak, saya segera mencari mereka di dalam rumah," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Rabu melaporkan situasi tanah runtuh dan terdapat mangsa yang diselamatkan penduduk di Kampung Madsiang dalam perkongsian dua video masing-masing berdurasi 29 saat dan 48 saat.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam kenyataannya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk terhadap jiran, rakan serta ahli keluarga sendiri ketika di musim tengkujuh bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Ismail Sabri berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar berhubung kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang.
Ismail Sabri berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar berhubung kejadian tanah runtuh di Kampung Madsiang.