X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

EGM lewat jejaskan pembangunan sukan sepak takraw

PSM perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan mencari pendekatan terbaik mengadakan EGM dalam masa terdekat. Gambar kecil: Yusoff Latiff
A
A

KELEWATAN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) meluluskan pindaan perlembagaan dan mengadakan pemilihan kepimpinan yang baharu badan induk tersebut dibimbangi menjejaskan proses pembangunan sukan sepak takraw pada masa depan.

Menurut pengasas PSM, Tan Sri Yusoff Latiff, badan induk tersebut perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan mencari pendekatan terbaik mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam masa terdekat.

Jelas Yusoff, ini penting bagi membolehkan PSM dan ahli gabungan merangka segera hala tuju baharu untuk jangka pendek dan jangka panjang dalam usaha mengangkat semula maruah sukan tradisi negara tersebut.

“Alhamdulillah, saya difahamkan perbincangan sesi fasa pemulihan melibatkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia, bekas ahli gabungan yang diselia Pesuruhjaya Sukan (PJS) berjalan lancar sebelum ini.

“Satu petanda positif buat komuniti sepak takraw Malaysia yang mahu kemelut yang melingkari persatuan tertua negara ini berakhir segera, malah Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) juga memberi komitmen menerima PSM sekiranya mendapat lampu hijau PJS.

“Cumanya sekarang PSM perlu mencari pendekatan terbaik mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dengan kadar segera bagi melengkapkan fasa pemulihan badan induk berkenaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

PJS sebelum ini menyarankan PSM perlu mengambil langkah segera dengan mengadakan EGM bagi meluluskan pindaan Perlembagaan PSM dan mengadakan pemilihan kepimpinan yang baharu badan induk tersebut sekaligus melengkapkan fasa pemulihan badan induk berkenaan.

Mengenai pendekatan terbaik untuk melaksanakan EGM itu secara fizikal atau maya, Yusoff berkata, EGM secara fizikal berbanding secara maya adalah pendekatan paling sesuai dalam mengakhiri kemelut luar biasa tersebut.

“Sebenarnya biarpun EGM boleh sahaja dilaksanakan secara online seperti yang dilakukan kebanyakan persatuan sukan kebangsaan pada ketika ini dalam mengekang penularan Covid-19.

“Namun untuk kes PSM ianya agak special sikit dan sebaiknya mesyuarat diadakan dalam pendekatan fizikal kerana lebih berkisar kepada meluluskan pindaan perlembagaan dan pemilihan kepimpinan baharu.

“Cumanya, sekali lagi ingin saya nyatakan di sini bahawa PSM tidak boleh melengah-lengahkan lagi proses reformasi ini, sebalik perlu memuktamadkannya segera,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!