Covid-19: 18,815 kes hari ini, Sarawak tertinggi

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jumlah kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan kepada 18,815 dalam tempoh 24 jam lalu berbanding 19,495 kes dicatatkan pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu yang direkodkan itu menjadikan kumulatif kes di Malaysia kini 2,049,750 kes.

Menurutnya, Sarawak menjadi negeri yang melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 3,660 kes, diikuti Selangor (2,718), Johor (2,206), Sabah (1,982), Pulau Pinang (1,777), Perak (1,446) Kedah (1,233) dan Kelantan (1,222).

"Bagi negeri Terengganu sebanyak 814 direkodkan diikuti Pahang (712), Kuala Lumpur (493), Melaka (269) dan Negeri Sembilan (170).

“Perlis pula merekodkan 80 kes dan Putrajaya, 22 kes manakala Labuan hanya 11 kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes yang dilaporkan pada Khamis terdapat 222 kes (1.2 peratus) adalah kategori tiga hingga lima manakala 18,593 kes (98.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Sebanyak 1,222 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 710 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Bagi jumlah kes sembuh pula, sebanyak 16,999 kes dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 1,800,278 kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terdapat 21 kluster baharu dikenalpasti membabitkan sembilan kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, dua kluster berisiko tinggi, tiga pendidikan dan satu pusat tahanan.

"Jumlah keseluruhan kluster adalah 5,228 dan 3,822 telah diisytiharkan tamat manakala 1,406 lagi masih aktif," katanya.