Umno Selangor sedia turun padang

Ismail meninjau keadaan Rumah Anak Yatim Raudhatul Al Faeez yang terbakar baru-baru ini
A
A

GOMBAK - Umno Selangor sentiasa bersiap-sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan Dun Rantau sekiranya Mahkamah Pilihan Raya menolak permohonan rayuan yang dikemukakan sebelum ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan memastikan setiap jentera di Selangor akan turun padang bagi mengekalkan kemenangan BN di dua kerusi berkenaan.

“Kita bersedia dan saya jangka sekiranya Pas juga boleh bekerjasama dengan tidak meletakkan calon mereka di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada kali ini, BN pasti dapat mengekalkan kemenangan di sana,” katanya ketika mengadakan lawatan di Rumah Anak Yatim Raudhatul Al Faeez hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kemenangan Tok Mat di Dun Rantau tidak sah ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah batalkan keputusan PRU14 Parlimen Cameron Highlands ]

Pada 16 November lepas, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan penyandang kerusi Dun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada PRU14 lalu terbatal dan tidak sah.

Selain itu, Mahkamah semalam turut mengisytiharkan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 lalu terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, Ismail berkata BN akan memberikan kerusi Parlimen itu kepada MIC untuk meletakkan calon mereka sekiranya berlaku PRK di kawasan berkenaan.

“Kita akan bagi MIC kerusi itu tapi calonnya masih belum diketahui,”katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut memaklumkan bahawa Umno Selangor kini lebih fokus dalam mencorak hala tuju dan masa depan parti di negeri ini bagi memastikan kemenangan mereka pada PRU15 nanti.

Walaupun cubaan untuk merampas kemenangan di Selangor pada PRU14 lalu gagal, Ismail berkata pendekatan yang diguna pakai oleh Umno Selangor pada kali ini lebih terurus mengikut gerak kerja ditetapkan.

“Malah kita juga baru sahaja selesai retreat pada 23-25 November lalu di mana Umno Selangor menggariskan perincian tentang fokus parti selepas ini bagi mengambil alihan kepimpinan dalam Kerajaan Selangor,” katanya