70 pemandu teksi terima bantuan prihatin daripada PKSP

Sara menyampaikan bantuan prihatin kepada salah seorang pemandu teksi di Stesen Komuter Shah Alam pada Khamis. Gambar kecil: Razali
Sara menyampaikan bantuan prihatin kepada salah seorang pemandu teksi di Stesen Komuter Shah Alam pada Khamis. Gambar kecil: Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 70 pemandu teksi di bandar raya ini menerima bantuan prihatin berupa barangan keperluan harian daripada Pertubuhan Kebajikan Solidariti Perpaduan (PKSP) sempena sambutan Hari Malaysia.

Setiausaha PKSP, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, bantuan tersebut bagi membantu pemandu-pemandu teksi yang hilang sebahagian besar pendapatan akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

“Rata-rata kita melihat pengusaha-pengusaha teksi di sini hampir kehilangan 90 peratus pendapatan ketika berhadapan dengan Covid-19.

“Jadi kita telah menganjurkan program ini untuk meringankan beban dan sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan mereka,” katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan kepada pemandu-pemandu teksi di pekarangan Stesen Komuter Shah Alam di sini pada Khamis.

Turut hadir dalam pengagihan sumbangan berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa (PPTKS) Bandaraya Shah Alam, Razali Sahran.

Sara menyampaikan bantuan prihatin kepada salah seorang pemandu teksi di Stesen Komuter Shah Alam pada Khamis.
Sara menyampaikan bantuan prihatin kepada salah seorang pemandu teksi di Stesen Komuter Shah Alam pada Khamis.

Sementara itu, Sara berkata, PKSP bergerak aktif sejak bulan Mac tahun lalu dan telah membantu pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, keluarga B40 dan mereka yang terjejas akibat Covid-19.

“Sebelum ini kita telah menghulurkan bantuan lebih 2,500 penerima di seluruh Malaysia daripada Pulau Pinang, Perak, Klang, Shah Alam dan Johor.

Artikel Berkaitan:

“Pada hari ini kita lihat dalam kalangan pengusaha-pengusaha teksi di Shah Alam, rata-rata mereka berumur 58 tahun hingga ke 68 tahun ke atas. Ada juga dalam kalangan mereka merupakan golongan OKU atau wanita yang memandu teksi,” ujarnya.

Menurutnya, program sumbangan seumpama ini diwujudkan bukan sahaja pada Hari Malaysia tetapi pada hari-hari lain bagi membantu golongan memerlukan.

“Kita melihat konsep sumbangan prihatin itu perlu ditekankan sempena Hari Malaysia kerana konsep tersebut telah diuar-uarkan di bawah pembentukan Keluarga Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini," katanya.