Banteras rasuah salah satu pendirian PKR, PH: Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.- Foto Bernama
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, amalan membanters rasuah merupakan salah satu tonggak daripada pendirian parti tersebut dan juga Pakatan Harapan (PH), malah perkara itu tidak boleh dikompromi.

Anwar berkata, walaupun Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan Persekutuan dan PH baru-baru ini tidak mengandungi pelan antirasuah, namun ia tidak bermakna parti pembangkang akan berhenti memperjuangkannya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, memorandum tersebut mempunyai klausa khusus yang menekankan terhadap prinsip urus tadbir yang baik dan juga kebebasan badan kehakiman.

“Kalau diteliti, memorandum persefahaman yang ditekankan adalah data kelola yang baik, good government. Itu tidak mungkin berlaku kalau rasuah menular.

“Kedua, disebut juga kebebasan badan kehakiman yang ditekankan dalam salah satu peruntukan memorandum tersebut.

“Jadi, saya boleh jelaskan kepada Transparency International Malaysia (TI-M) bahawa sebenarnya membanteras rasuah itu salah satu pendirian kami dan PH. Ini antara hal yang memang menjadi asas dan tidak boleh kompromi,” katanya pada sidang akhbar secara hibrid di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan MoU yang ditandatangi itu tidak cukup tegas dalam membanteras amalan rasuah di negara.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Pengerusi PH berkata, perjuangan menentang rasuah tidak akan terikat dan terhad selepas termeterainya MoU bersama kerajaan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Perjuangan ini bukan tertakluk atau terikat dengan MoU. Ucapan saya, ucapan rakan-rakan lain di Parlimen setelah MoU ditandatangani jelas tentang pendirian kita, tentang kerosakan yang berlaku akibat rasuah,” katanya.

Pada Isnin, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang mengandungi enam agenda.

Ia merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Bagaimanapun, Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan berkata, pihaknya kecewa kerana tiga bidang pembaharuan utama yang telah diketengahkan dalam NACP tidak terkandung dalam MoU.

Katanya, ketiga-tiga bidang utama tersebut merangkumi akta pembiayaan politik, pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya serta meletakkan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bawah bidang kuasa Parlimen.