X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Kenangan terindah Grealish penampilan sulung di Liga Juara-Juara

Grealish meraikan jaringan pertamanya di pentas Liga Juara-Juara ketika berdepan RB Leipzig di Stadium Etihad. - Foto Champion League
A
A

PEMAIN sayap Manchester City, Jack Grealish mengakui gembira apabila dapat menyumbang gol ketika beraksi buat pertama kali dalam Liga Juara-Juara, saingan tertinggi kelab Eropah.

Malah menurut Grealish, sebagai pemain England itu merupakan antara impiannya untuk beraksi di saingan paling kompetetif kejuaraan berprestij tersebut bersama The Citizens.

"Saya amat teruja sememangnya ini detik dinanti selama ini apabila tidak hanya dapat beraksi buat pertama kali, tetapi juga memastikan tiga mata, menjaringkan gol dan bantuan gol untuk kelab ini.

"Sejujurnya dalam beberapa minggu kebelakangan ini saya amat teruja untuk perlawanan ini, dan akhirnya menjadi kenyataan buat saya.

"Pada saya perlawanan ini merupakan aksi segala-galanya bagi karier bola sepak saya selama ini, yang kesudahannya Manchester City memenangi perlawanan dengan cukup bertenaga dibarisi pemain-pemain muda," kata tonggak Three Lions berusia 26 tahun tersebut.

Grealish sebelum ini menyertai The Citizens menerusi perjanjian selama enam tahun dari Aston Villa dengan rekod perpindahan bernilai 100 juta pound (RM587.46 juta).

Kehadiran Grealish adalah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sergio Aguero yang berhijrah ke kelab La Liga, Barcelona.

Dalam aksi kumpulan A di Stadium Etihad itu, Manchester City kendalian Pep Guardiola tidak berdepan masalah menjinakkan kelab Bundesliga, RB Leipzig, 6-3.

Gol-gol tuan rumah pada perlawanan itu dihasil menerusi Nathan Ake pada minit ke-16 diikuti gol sendiri pemain lawan, Nordi Mukiele (28'), Riyad Mahrez (47'), Grealish (56'), Joao Cancelo (75') dan Gabriel Jesus (85').

Sementara tiga gol Die Roten Bullen kendalian Jesse Marsch dijaringkan menerusi hatrik Christopher Nkunku (42', 51' dan 73') untuk kedudukan 6-3.

Dalam pada itu, Guardiola memuji prestasi dipamerkan Grealish selain persembahan tidak mengalah RB Leipzig di laman The Citizens tersebut.

"RB Leipzig bukan jenis kelab yang mudah mengalah dalam perlawanan di Etihad ini. Anda dapat lihat berdasarkan karakter sepanjang perlawanan ini terutama ketika menyerang bermain sepenuh jiwa.

"Mereka memiliki pemain-pemain muda yang bersemangat, agresif dan fantastik. RB Leipzig memberi mesej jelas bahawa kualiti pemain muda semakin meningkat. Pemain-pemain muda Manchester City juga menterjemahkannya dalam bentuk kemenangan," ujar Guardiola.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!