X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Kerajaan naikkan Bantuan Wang Ihsan kepada RM1,000

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM18,241,250 kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor (tiga, kanan) pada majlis penyampaian peruntukan persediaan bencana kerajaaan persekutuan melalui Nadma Jabatan Perdana Menteri kepada kerajaan negeri Sabah untuk 2021/2022 di Menara Kinabalu hari ini. Turut sama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin (dua, kanan) dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali (dua, kiri). - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL) atau lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat JPBP yang dipengerusikan oleh beliau pada 13 September lepas.

Beliau berkata, pemberian bantuan itu adalah antara pendekatan baharu kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi MTL yang dijangka berlaku pada awal November ini hingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak.

"Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung.

"Inisiatif BWI ini dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, keputusan menaikkan kadar bantuan itu juga membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana MTL sepanjang tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pendekatan baharu yang turut diputuskan dalam mesyuarat itu ialah pembangunan Sistem e-Sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.

"Bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat atau negeri atau daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.

"Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan juga perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat atau negeri atau daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menasihatkan agar semua pihak yang terlibat supaya konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing-masing.

Beliau berkata, semua agensi terlibat juga perlu menggunakan dan berkongsi segala aset yang sedia ada di negeri masing-masing dengan melibatkan badan-badan korporat, NGO serta individu di peringkat tempatan agar sama-sama dapat menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Keluarga Malaysia.

"Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia juga, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk terhadap jiran dan rakan selain ahli keluarga sendiri ketika musim tengkujuh nanti, untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!