Kementerian Wilayah Persekutuan wujud 'Green Zone' untuk 'rider'

Jalaluddin (kanan) berkesampatan beramah mesra dengan dua individu dalam program tersebut.
Jalaluddin (kanan) berkesampatan beramah mesra dengan dua individu dalam program tersebut.
A
A
A

JELEBU - Kementerian Wilayah Persekutuan akan mewujudkan kawasan khas 'Green Zone' yang dikhususkan sebagai tempat letak motosikal untuk penghantar makanan atau barangan di 10 lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, inisiatif ini dapat membantu serba sedikit memudahkan dan mempercepatkan urusan golongan tersebut dalam penghantaran makanan atau barangan.

"Kami sudah ada projek perintis kawasan 'Green Zone' itu di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sedia digunakan oleh para 'rider'.

"Saya sudah berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk melaksanakan projek ini secara segera di 10 kawasan lain yang dikenal pasti antaranya berhadapan Pavilion, Menara Berkembar Kuala Lumpur di Jalan Ampang dan Sunway Putra Place di sini," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Santai Muafakat bersama masyarakat majmuk Parlimen Jelebu di Simpang Durian di sini pada Khamis.

Jalaluddin berkata, pihaknya akan memperluaskan projek perintis itu di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan selain akan dijadikan contoh kepada negeri-negeri lain untuk turut melaksanakan projek sama.

Jalaluddin (tengah) ketika menyampaikan bakul makanan kepada penerima terlibat.
Jalaluddin (tengah) ketika menyampaikan bakul makanan kepada penerima terlibat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Jalaluddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Jelebu berkata, beliau mendukung usaha kerajaan untuk melaksanakan Undi 18 pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Saya tidak fikir pelaksanaannya (Undi 18) merupakan masalah besar sebaliknya memberi peluang kepada golongan itu membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara," katanya.

Dalam pada itu, sempena Hari Malaysia, Jalaluddin turut melancarkan Aduan Waghih Jelebu melalui aplikasi WhatsApp di talian 017-2953550 bagi menyalurkan sebarang permasalahan atau cadangan membina bagi kebajikan masyarakat di Jelebu.

Mengulas mengenai program berkenaan, beliau menjelaskan program itu merupakan kesinambungan kepada Program Konvoi Merdeka Parlimen Jelebu yang diadakan pada 31 Ogos yang lalu.

"Ia melibatkan aktiviti konvoi berkenderaan sambil membawa 250 bakul makanan ke empat lokasi iaitu di Pekan Titi, Simpang Durian, Air Hitam dan Pekan Pertang dengan membabitkan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pertang dan Sungai Lui.

"Ini merupakan manifestasi semangat perpaduan yang telah lama diamalkan oleh masyarakat di Parlimen Jelebu sehingga membentuk sebuah keluarga besar Jelebu yang cukup sinonim dengan keakraban sesama penduduk.

"Di samping itu, program ini juga mencerminkan bahawa mereka yang minoriti dalam masyarakat tidak sesekali ditinggalkan dalam apa jua keadaan," katanya.