Trip feri ke Pulau Langkawi tergendala

Pelancong menunggu giliran berikutan perkhidmatan feri tergendala di Terminal Kuala Perlis pada Khamis.
Pelancong menunggu giliran berikutan perkhidmatan feri tergendala di Terminal Kuala Perlis pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Trip perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi di Terminal Feri Kuala Perlis di sini pada Khamis tergendala berikutan pelancong diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, perkhidmatan feri melibatkan semua jadual perjalanan terjejas berikutan setiap pelancong perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 terlebih dahulu.

Menurutnya, perjalanan ke pulau pelancongan itu sempena projek rintis gelembung pelancongan ke Langkawi tergendala disebabkan pihaknya tidak mahu ada penumpang tertinggal untuk masuk melancong di destinasi itu.

"Bagi trip feri pertama, perkhidmatan tergendala selama 30 minit, feri kedua pula tergendala selama satu jam dan feri ketiga hampir dua jam tergendala susulan arahan kerajaan itu.

"Masalah perkhidmatan feri tergendala untuk pelancong disebabkan prosedur operasi standard (SOP) saat akhir yang mewajibkan pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19," katanya pada Khamis.

Baharin berkata, pihaknya tidak mahu pelancong yang telah menempah hotel dan sebagainya terlepas daripada memasuki Langkawi walaupun tahu alur air laut ketika itu semakin cetek.

"Kami mengambil risiko menunggu untuk memberi peluang kepada pelancong yang membeli tiket ke Langkawi, bagaimanapun semua penumpang telah masuk ke dalam feri untuk trip perjalanan terakhir pada Khamis," katanya.

Pada Rabu, kerajaan mengumumkan individu yang akan bercuti di Pulau Langkawi bermula 16 September diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan mereka.

Artikel Berkaitan: