Trio Les Parisiens perlu masa bentuk keserasian

Herrera meraikan jaringan bersama Messi ketika perlawanan menentang Club Brugge di di Stadium Jan Breydel. FOTO: Champion League
Herrera meraikan jaringan bersama Messi ketika perlawanan menentang Club Brugge di di Stadium Jan Breydel. FOTO: Champion League
A
A
A

PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino memberi amaran Les Parisiens memerlukan sedikit masa untuk trio prestasi tinggi Lionel Messi-Neymar-Kylian Mbappe lebih menyerlah selepas terikat 1-1 semasa menentang Club Brugge dalam aksi pembukaan kumpulan A Liga Juara-Juara di Stadium Jan Breydel, Brugge.

Malah menurut Pochettino, ini merupakan kali pertama ketiga-tiga pemain berprofil tinggi tersebut digandingkan dalam perlawanan berprestasi tinggi saingan kejuaraan kelab Eropah.

"Sejujurnya, ketiga-tiga gandingan ini memerlukan sedikit masa mengenali satu sama lain dalam membentuk keserasian sebelum menyerlah secara bersama di kelab ini.

"Ianya juga memerlukan latihan lebih intensif dan kerja keras selain kerjasama sebagai satu unit pasukan semasa di padang. Saya ingin jelaskan sekali lagi bahawa kami masih belum membentuk unit pasukan dalam perlawanan ini, jadi usaha ke arah itu perlu digandakan selepas ini," ujar Pochettino.

Pada perlawanan itu, Ander Herrera meletakkan pelawat di depan apabila menyempurnakan hantaran Mbappe pada minit ke-15 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Hans Vanaken minit ke 27.

Untuk rekod, percubaan Messi untuk menambah koleksi jaringan sekadar mengena palang gol, manakala Neymar terus tenggelam selain Mbappe terpaksa dikeluarkan selepas jaringan Herrera.

Pada masa sama, Pochettino mengakui anak buahnya masih melakukan beberapa kesilapan mudah dalam perlawanan tersebut sehingga menjejaskan momentum pasukan.

"Kami perlu lebih konsisten dan lancar dalam melakukan pergerakan selepas ini setelah melakukan beberapa kesilapan mudah.

Artikel Berkaitan:

"Biarpun begitu, saya amat berpuas hati dengan komitmen dalam kalangan pemain, cumanya kami perlu kekal tenang dan bekerja lebih keras lagi," katanya.