Tiga ditahan memandu dalam keadaan mabuk

Operasi di Jalan Tun Razak yang dilakukan pada lewat malam Rabu.
Operasi di Jalan Tun Razak yang dilakukan pada lewat malam Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki berusia 30 hingga 45 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi di Jalan Kuchai Lama di sini pada lewat malam Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, sebanyak 392 saman dikeluarkan dalam operasi bermula pada jam 9 malam di empat lokasi di sekitar ibu negara itu.

"Ketiga-tiga mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar dan akan dituduh di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, denda mencecah RM30,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu untuk tempoh tidak kurang dari dua tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Anggota polis memeriksa lesen dan cukai jalan penunggang motosikal dalam operasi di sekitar ibu negara pada lewat malam Rabu.
Anggota polis memeriksa lesen dan cukai jalan penunggang motosikal dalam operasi di sekitar ibu negara pada lewat malam Rabu.

Sarifudin berkata, sebanyak lapan buah motosikal turut disita kerana menggunakan ekzos bising.

Artikel Berkaitan:

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal," ujarnya.

Tambah beliau, operasi yang dijalankan di Jalan Tun Razak, Jalan Raja Laut, Jalan Bangsar dan Jalan Kuchai lama itu berakhir sekitar jam 1 pagi.

Menurutnya, JSPT Kuala Lumpur akan sentiasa mempertingkatkan operasi penguatkuasaan undang-undang trafik terutama pada malam cuti umum.