Liverpool bangkit atasi AC Milan di Anfield

Jaringan Henderson memastikan Liverpool menyingkap tirai kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan keputusan positif di Anfield. - Foto Champion League
Jaringan Henderson memastikan Liverpool menyingkap tirai kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dengan keputusan positif di Anfield. - Foto Champion League
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui The Reds terbawa-bawa gaya permainan sendiri ketika bangkit ketinggalan untuk menang 3-2 ke atas AC Milan dalam aksi kumpulan B Liga Juara-Juara di Stadium Anfield awal pagi Khamis.

Sebalik itu menurut Klopp, tiga mata dalam antara perlawanan berprofil tinggi peringkat kumpulan di laman sendiri tersebut merupakan satu motivasi positif buat skuad kendaliannya berkenaan.

"Kami bermula dengan sangat baik apabila memainkan gaya permainan menyakinkan untuk menang, namun ini tidak hanya merupakan perlawanan berintensiti tinggi tetapi juga menguji kematangan dalam kalangan pemain.

"Biarpun begitu kami tidak dihukum minit-minit terakhir babak pertama sebaliknya lebih awal daripada itu. Kami terbawa-bawa gaya bola sepak kami sendiri kerana tidak menjadikannya satu permainan sederhana, sebaliknya secara ofensif dan bertahan, menyebabkan ia tidak teratur lagi.

"Biarpun begitu kami bernasib baik apabila segera sedar dan kembali semula ke perlawanan apabila mula menjaringkan gol sebaik ketinggalan seterusnya memenangi perlawanan.

"Satu kemenangan yang wajar buat Liverpool biarpun dalam tempoh 10 minit AC Milan berada dalam momentum terbaik untuk mengikat perlawanan dengan keputusan seri," ujar Klopp.

Pada perlawanan itu, The Reds terlebih dulu di depan hasil jaringan sendiri pemain pelawat Fikayo Tomori pada minit kesembilan sebelum peluang melebarkan kedudukan menerusi penalti Mohamed Salah dinafikan pada minit ke-11.

Anak buah Stefano Pioli kemudian bangkit menerusi gol Ante Rebic (42') dan Brahim Diaz (44') untuk kedudukan 2-1, namun Salah menebus kegagalan penalti dengan gol minit ke-48' sebelum bintang sensasi The Reds Jordan Henderson menoktahkan kemenangan tuan rumah dengan gol pada minit ke-69.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pioli menyifatkan penampilan semula bekas juara tujuh kali itu di Anfield selepas tujuh musim hilang dari radar kejuaraan berprestij kelab Eropah berkenaan sebagai sesuatu yang positif.

"Ia merupakan penampilan semula di pentas tertinggi kelab Eropah untuk kelab yang dibarisi pemain yang kurang berpengalaman beraksi pada tahap ini.

"Liverpool beraksi cukup baik terutama 25 minit pertama sebelum kami mengubah segalanya dengan dua gol tersebut.

"Sedikit mengecewakan adalah dua gol Liverpool pada babak kedua tersebut berpunca kealpaan pemain AC Milan.

" Apa pun perlawanan di Anfield ini akan mematangkan lagi permainan dalam kalangan pemain AC Milan dalam konteks intensiti dan kualiti untuk pergi lebih jauh lagi dalam kejuaraan ini," ujarnya.